Adam (kiri) menyantuni golongan warga emas semasa program lawatan pasca banjir di Kg Tombovo.
PUTATAN: Lebih ramai sukarelawan termasuk Skuad Sukarelawan Anak Malaysia (SATRIA) akan digerakkan untuk membantu kerja-kerja pembersihan dan pemulihan banjir.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli berkata Kementerian Belia dan Sukan melalui Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Sabah serta Majlis Belia Negeri (MBN) Sabah akan menggerakkan sukarelawan tersebut sebagai usaha pemulihan pasca banjir sebagaimana arahan Perdana Menteri.
“Hari ini kita teruskan ini memang antara lainnya adalah komitmen oleh Perdana Menteri sendiri macam arahan yang jelas dikeluarkan adalah untuk kita sentiasa daripada Kerajaan ini,sentiasa bantu kawasan-kawasan terjejas termasuk dalam konteks hari ini yang telah disampaikan, yang perlukan perhatian yang luas dan perhatian yang menyeluruh.
“Kita mahu pastikan tak kira apa agensi pun dapat digerakkan kerana setiap agensi dalam kerajaan ini pasti ada peranan yang boleh dimainkan dalam usaha pemulihan dan juga menyokong rakyat yang terjejas dan kita,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan ke Kampung Tombovo dan Kampung Duvanson, kelmarin.
Mengenai lawatan berkenaan, kata beliau, ia adalah salah satu komitmen Kerajaan Persekutuan Pusat untuk melihat dan memantau sendiri usaha-usaha pemulihan dan menggerakkan sokongan kepada masyarakat yang terkesan.
“Tentu sekali saya harap bahawa kerja-kerja di lapangan ini, dalam usaha-usaha pemulihan ini dapat dipermudahkan dengan kerjasama pelbagai agensi sama ada persekutuan ataupun agensi-agensi negeri.
“Kita akan sentiasa pastikan bahawa dari masa ke semasa, pemantauan diadakan supaya tidak ada sebarang aral dalam memastikan kerja-kerja pemulihan dan juga penyampaian bantuan dapat diteruskan dan dapat disegerakan,” jelas beliau.
Semalam, beliau bersama rombongan telah meninjau keadaan lima buah keluarga di Kampung Minintod, Inanam dengan turut disertai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inanam, Datuk Peto Galim serta wakil Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Mustapha Sakmud untuk melihat sendiri kesan banjir terhadap masyarakat setempat.