KOTA KINABALU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sabah menyita sebanyak 11 kenderaan mewah dalam satu operasi khas yang dijalankan di seluruh negeri sejak Jun hingga September tahun ini.
Pengarah JPJ Sabah, Datuk Haji Mohd. Harris Ali berkata, operasi berkenaan yang dinamakan Ops Luxury dilaksanakan bagi mengesan dan mengambil tindakan terhadap kenderaan mewah yang melanggar undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Fokus utama operasi ini adalah terhadap kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan ketiadaan perlindungan insurans,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Antara kenderaan mewah yang dikesan melakukan kesalahan termasuk Bentley Continental, Lexus, Range Rover, Mercedes-Benz, Ford Ranger Raptor, BMW 320i, Ford Mustang, Nissan Skyline, Nissan Fairlady dan Land Rover Defender.
Mohd. Harris berkata, tindakan penguatkuasaan bukan sahaja melibatkan pengeluaran saman, malah beberapa kenderaan turut disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Penyitaan dilakukan bagi menghentikan kesalahan yang dilakukan secara berterusan, di samping memastikan pemilik kenderaan segera membetulkan pelanggaran undang-undang berkenaan,” jelasnya.
Statistik tindakan Ops Luxury mengikut daerah sehingga September 2025 adalah seperti berikut: Kota Kinabalu (7 buah), Sandakan (1), Tawau (2) dan Beaufort (1), menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 11 kenderaan.
JPJ Sabah turut menasihatkan pemilik kenderaan agar sentiasa memastikan LKM dan insurans kenderaan mereka sah serta berkuat kuasa.
“Ini bukan sahaja mengelakkan mereka daripada dikenakan tindakan, malah memastikan perlindungan risiko sekiranya berlaku kemalangan jalan raya kepada pemilik dan juga pihak ketiga, khususnya pengguna jalan raya lain,” katanya.
Beliau menegaskan JPJ Sabah akan meneruskan aktiviti penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan semua pengguna jalan raya mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya.