Joniston bersama pesara guru besar dan warga pendidik pada Majlis Lambaian Kasih Jasamu Dikenang Zon Kiulu dan Zon Nabalu.
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai mencadangkan penubuhan Persatuan Pesara Guru Besar dan Guru Kiulu sebagai wadah untuk bekas pendidik terus menyumbang idea dalam pembangunan masyarakat.
Beliau berkata, pengalaman dan pandangan guru yang telah bersara masih relevan serta boleh dimanfaatkan untuk membantu memacu pembangunan pendidikan dan komuniti di Kiulu.
“Dengan adanya persatuan ini, pesara guru akan mempunyai platform khusus untuk terus berkhidmat dalam masyarakat dan sama-sama mengembleng idea dalam usaha memacukan pembangunan Kiulu.
“Pengalaman mereka amat berharga dalam memastikan setiap langkah pembangunan sesuai dengan keperluan masyarakat,” katanya ketika berucap pada Majlis Lambaian Kasih Jasamu untuk lima pesara guru besar Zon Kiulu dan Zon Nabalu, di sini, hari ini.
Majlis itu dianjurkan bersama oleh Persatuan Guru Besar Zon Kiulu dan Persatuan Guru Besar Zon Nabalu dengan kerjasama Pusat Khidmat ADUN Kiulu.
Dalam ucapannya, Joniston turut merakamkan penghargaan kepada semua guru besar dan guru atas jasa mendidik anak-anak Kiulu yang disifatkan sebagai asas penting kepada pembangunan daerah kecil tersebut.
Beliau menegaskan bahawa pihak Pusat Khidmat ADUN Kiulu sentiasa memberi perhatian kepada keperluan pendidikan dan menyokong program yang memberi manfaat kepada guru serta pelajar.
Menurutnya lagi, kerjasama antara pemimpin masyarakat dengan guru, termasuk pesara, amat penting untuk meneruskan transformasi pembangunan yang sedang berlaku di Kiulu. Justeru, beliau mengajak para pendidik untuk terus bersama sebagai rakan strategik Pusat Khidmat ADUN Kiulu.
Dalam majlis itu, Joniston turut menyampaikan sijil penghargaan kepada lima guru besar yang bersara sebagai tanda terima kasih atas jasa dan sumbangan mereka.