LONDON: Instagram kini memperkenalkan teknologi kecerdasan buatan (AI) di United Kingdom (UK) bagi memastikan remaja menggunakan aplikasi tersebut mengikut peraturan ditetapkan.
Menurut Utusan Malaysia, bermula Isnin, aplikasi milik Meta itu menggunakan AI untuk mengesan pengguna remaja yang menyatakan umur palsu ketika mendaftar akaun.
Teknologi tersebut mampu mengenal pasti pengguna yang mendakwa berusia 18 tahun ke atas, tetapi mempunyai ciri wajah lebih muda berdasarkan foto yang dimuat naik.
Jika sistem mengesan akaun sedemikian, pengguna akan secara automatik dimasukkan ke dalam kategori Akaun Remaja iaitu versi aplikasi khas untuk remaja bawah 18 tahun.
Langkah ini mungkin dianggap mengongkong oleh sebahagian remaja, namun ia dilihat sebagai usaha melindungi mereka daripada risiko lebih besar di alam maya.
Menurut kenyataan Instagram, inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha industri untuk mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat.
“Memahami umur pengguna dalam talian adalah cabaran besar seluruh industri. Kami akan terus berusaha memastikan remaja ditempatkan dalam pengalaman yang sesuai dengan usia mereka,” kata jurucakap Instagram.
Ketika ini, Instagram menetapkan syarat minimum umur 13 tahun untuk membuka akaun. Bagi pengguna berusia 13 hingga 17 tahun, mereka diletakkan dalam kategori Akaun Remaja.
Akaun remaja secara automatik ditetapkan sebagai peribadi, sekali gus mengurangkan risiko daripada pemangsa dalam talian. Hanya pengikut yang dikenal pasti boleh menghantar mesej kepada mereka.
Selain itu, ibu bapa boleh memantau mesej anak, menetapkan had masa penggunaan serta menyekat akses aplikasi pada waktu tertentu.
Instagram sebelum ini mengakui ada remaja yang menipu tarikh lahir untuk menyamar sebagai pengguna dewasa, sekali gus mengelak daripada kategori khas tersebut.
Namun, dengan teknologi AI terbaharu ini, sistem akan mengimbas akaun secara proaktif bagi mengenal pasti pengguna berusia 13 hingga 17 tahun, sebelum menukar akaun mereka kepada AKaun Remaja.