Antara penerima anugerah sambutan Maulidur Rasul Tahun 2025 di Kota Marudu, semalam.
KOTA MARUDU: Generasi muda perlu bersedia menghadapi cabaran pertarungan minda dan perubahan persekitaran yang begitu pantas bagi memastikan kemerdekaan negara dapat terus dipertahankan.
Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Redonah Bahanda mengingatkan bahawa perkara itu tidak boleh dipandang ringan kerana segala pencapaian negara boleh lenyap dalam sekelip mata akibat pelbagai ancaman seperti kegawatan politik, ekonomi dan sosial yang mudah tercetus.
Katanya, rakyat tidak harus leka dengan perkara yang kurang memberi manfaat, sedangkan dunia kian berubah dan perlumbaan menempa kejayaan dalam semua lapangan berlangsung tanpa henti.
“Ancaman kepada kemerdekaan pada masa ini wujud dalam pelbagai bentuk. Apabila sesebuah negara itu lemah kerana tidak mampu meletakkan pandangannya ke hadapan, itu bukanlah kemerdekaan yang sebenar,” katanya selepas menghadiri sambutan Maulidur Rasul dan Pertandingan Sepanduk peringkat Daerah Kota Marudu Tahun 2025 di Padang Pekan Kota Marudu, semalam.
Redonah turut mengajak rakyat pelbagai bangsa dan agama menjadikan amalan musyawarah sebagai budaya hidup masyarakat di negeri ini.
Menurutnya, amalan tersebut akan melahirkan masyarakat yang saling bekerjasama dan hormat-menghormati antara satu sama lain, sekali gus mewujudkan masyarakat penyayang serta mengekalkan keamanan dan keharmonian negara.
Majlis perasmian program berkenaan telah disempurnakan oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan Jheains Kota Kinabalu, Abdul Manap Abdul Ruhim.
Turut diraikan pada majlis itu ialah beberapa tokoh yang menerima anugerah Maulidur Rasul 2025 peringkat daerah, antaranya Redonah selaku Tokoh Maulidur Rasul, Ustaz Mohd Fadzril Jainil sebagai Tokoh Pendakwah dan Natidah Zubair sebagai Tokoh Pendakwah Wanita.
Sementara itu, keputusan Pertandingan Sepanduk menyaksikan Jabatan Kerja Raya (JKR) muncul juara bagi kategori kementerian dan jabatan.
Bagi kategori komuniti, kemenangan diraih Masjid Nur Syifa Kg. Ongkilan, manakala Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) Kg. Simpangan menjuarai kategori pertubuhan dan persatuan.
SMK Bandau pula diumumkan sebagai pemenang kategori sekolah menengah, sementara SK Langkon menjuarai kategori sekolah rendah.