‘Bangla Market’ lumpuh selepas 242 pegawai dan anggota imigresen serta pelbagai agensi lain menyerbu dan menahan 1,137 pekerja asing selain menahan 662 PATI dekat Indah Point, Kawasan Perindustrian Pulau Indah, di Klang, Selangor, malam tadi.
KLANG: Kedai runcit dan restoran serta sebuah pusat pelacuran dekat kawasan komersial Indah Point dekat Pulau Indah di sini yang terkenal dengan jolokan ‘Bangla Market’ lumpuh selepas bermaharajalela lebih 10 tahun diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Selangor, malam tadi.
Menurut Utusan Malaysia, dalam operasi khas bersama agensi termasuk Imigresen Perak, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur, Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 19, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) itu menahan dan memeriksa 1,137 warga asing.
Serbuan terhadap lebih 100 premis di sembilan buah blok yang berlangsung lebih dua jam bermula pukul 9.30 malam itu menyaksikan pelbagai cubaan melarikan diri oleh warga asing bagi mengelak daripada ditahan oleh pihak berkuasa.
Antara yang dikesan termasuklah seorang wanita yang nekad terjun dari tingkat atas bangunan rumah kedai empat tingkat itu, selain beberapa warga asing yang bersembunyi di dalam saluran kumbahan.
Wanita tersebut, Adimanda Sari, 32, berkata, dia nekad terjun selepas mendakwa melihat ramai orang secara tiba-tiba melarikan diri dekat premis berkenaan menyebabkan dia panik dan terjun ke bawah sebelum jatuh ke atas timbunan sampah.
“Saya nampak kawan terjun, saya pun terjun. Saya ada pasport, tetapi pada kawan, sekarang telefon bimbit sudah hilang, tak dapat hubungi kawan untuk hantar pasport.
“Saya tinggal sini pun baru enam bulan, tiga bulan lalu saya balik sebab visa tamat, kemudian datang lagi ke sini. Kini saya bekerja dekat kilang perabot tak jauh dari sini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Seorang lagi wanita dari Padang, Indonesia, Norma Yunita, 41, memberitahu, dia tidak menyangka anaknya yang baru tiba dari kampung terpaksa menghadapi pemeriksaan pihak berkuasa.
”Saya ada dua orang anak, lelaki berusia 21 tahun dan perempuan lima tahun. Anak lelaki baru sampai dari kampung kerana cuti semester. Saya dan suami sudah lapan tahun tinggal di sini,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, seramai 662 pendatang tanpa izin (PATI) dikesan dalam pemeriksaan tersebut atas pelbagai kesalahan.
“Ada dua orang saya kesan tadi tinggal lebih masa sekurang-kurangnya sebulan. Selain itu ada yang tidak mempunyai pas atau dokumen yang sah serta menyalahgunakan pas lawatan sosial dengan bekerja.
“Kita dapat kesan pekerja tersebut dekat kedai-kedai makan apabila mereka dilihat sedang bekerja, namun bila pemeriksaan dibuat mereka rupanya pemegang pas lawatan sosial, justeru kita tangkap,” jelasnya.
Tambahnya, secara keseluruhan mereka yang diperiksa terdiri daripada 10 orang warga Indonesia, Bangladesh (545), India (10), Myanmar (36), Nepal (24), Pakistan (35) yang berusia antara 16 hingga 80 tahun.
“Mereka akan dibawa ke Ibu pejabat Imigresen Selangor untuk diperiksa sebelum dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen di Semenyih bagi tindakan lanjut.
”Kesemua PATI disiasat di bawah Seksyen 15(1)(C), Seksyen 6(C) Akta Imigresen 1959/63, Peraturan 39B Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007,” katanya.