Hayley Black tidak menyangka dia mengalami kecederaan parah hanya dengan menguap.
LONDON: Seorang ibu di Britain nyaris maut selepas mengalami kecederaan parah akibat menguap terlalu kuat sehingga menyebabkan tulang tengkuknya patah.
Menurut Utusan Malaysia, keadian luar biasa itu berlaku pada Mei 2016 dan meninggalkan kesan kekal terhadap dirinya.
Mangsa, Hayley Black dikejarkan ke hospital selepas insiden pelik tersebut namun, pada awalnya doktor tidak mengambil aduannya dengan serius dan hanya selepas pemeriksaan lanjut, barulah kecederaan sebenar dikesan.
Kejadian bermula ketika Hayley menjaga anak kecilnya, Amelia. Selepas menyediakan susu untuk anaknya, dia secara spontan menguap sambil meregangkan otot.
Namun, tindak balas biasa itu bertukar tragedi apabila Hayley tiba-tiba merasai renjatan elektrik seluruh tubuhnya.
Akibatnya, lengannya kaku dan tidak dapat diturunkan. Menyedari sesuatu yang serius berlaku, dia segera meminta suaminya, Ian, menghubungi ambulans.
Sepanjang perjalanan ke hospital, Hayley menanggung kesakitan yang dahsyat. Pada awalnya, imbasan perubatan tidak menunjukkan sebarang kecederaan tetapi pemeriksaan lebih terperinci kemudian mendapati tulang serviks C6 dan C7 telah menekan ke arah tulang belakang akibat tekanan kuat dari menguap.
Keadaan itu memaksa dia menjalani pembedahan kecemasan bagi membetulkan semula kedudukan tulang belakangnya.
Doktor memberi amaran terdapat kemungkinan Hayley mungkin tidak akan berjalan semula.
Namun, pembedahan itu berjaya menyelamatkan nyawanya. Walaupun begitu, Hayley kini mengalami masalah saraf kekal pada tulang belakangnya.
Dia terpaksa meninggalkan kerjayanya sebagai pegawai pengendali panggilan kecemasan dan kini Hayley bergantung kepada ubat khusus untuk mengawal kesakitan jangka panjang yang dialaminya.
Dalam perkongsian di TikTok, ibu kepada dua anak itu menceritakan pengalaman ngeri tersebut sambil memberi amaran kepada orang ramai supaya berhati-hati dengan pergerakan spontan seperti menguap.
“Saya tidak sangka sesuatu yang begitu biasa boleh mengubah hidup saya selama-lamanya,” katanya.