SINGAPURA: Seorang wanita maut selepas diserang dalam pertengkaran berkaitan bunyi bising antara jiran di Yishun Central di sini, hari ini.
Menurut Utusan Malaysia, wanita terbabit bersama suaminya merupakan antara tiga individu yang dibawa ke hospital, dengan pasangan tersebut dilaporkan mengalami kecederaan serius.
Individu ketiga yang turut dihantar ke hospital adalah suspek penyerang, kini ditahan atas tuduhan membunuh.
Jurucakap polis berkata, siasatan awal mendapati pergaduhan itu berpunca daripada pertikaian mengenai bunyi bising.
Suspek, seorang lelaki berusia 67 tahun, didakwa menggunakan pisau untuk mencederakan pasangan tersebut.
Mangsa wanita, seorang warga Vietnam berusia 31 tahun, dibawa dalam keadaan tidak sedarkan diri ke Hospital Khoo Teck Puat, namun disahkan meninggal dunia.
Suami mangsa berusia 33 tahun dan suspek dilaporkan berada dalam keadaan sedar ketika dibawa ke hospital.
Saksi yang juga penduduk pangsapuri berkenaan memberitahu, pertengkaran berlaku sekitar pukul 7 pagi, dan mendapati mangsa wanita terbaring tidak sedarkan diri.
“Dia mengalami luka di seluruh badan dan berlumuran darah. Suaminya cuba melawan suspek yang memegang pisau, kemudian si suami ditikam di bahagian dada,” katanya.
Menurut seorang lagi penduduk, Ismail, 65, perselisihan antara pasangan itu dengan lelaki berkenaan sudah berlarutan selama beberapa tahun.
“Pasangan itu biasanya tidak banyak bergaul, tetapi saya rasa lelaki itu tidak senang dengan anak-anak mereka yang bermain dan membuat bising,” katanya.
Anak pasangan itu dipercayai berusia kira-kira dua dan lima tahun.