Aksyah Haji Nasrah
KOTA KINABALU: Keputusan Kerajaan Negeri menghalang individu bernama Albert Tei memasuki Sabah baru-baru ini merupakan langkah tepat, sekali gus menunjukkan ketegasan mempertahankan bidang kuasa negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Mantan Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah, Aksyah Haji Nasrah menegaskan, tindakan sedemikian bukanlah perkara baharu kerana sebelum era pentadbiran Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor lagi, sudah ada individu ternama yang turut berdepan larangan memasuki negeri ini.
“Kes membabitkan Albert Tei bukan suatu keganjilan. Malah sebelum ini ada tokoh lebih berpengaruh pernah mengalami halangan sama. Justeru, beliau seharusnya memahami undang-undang serta menghormati kuasa imigresen yang jelas termaktub dalam MA63,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Aksyah, kegagalan Albert menerima keputusan tersebut hanya menggambarkan kejahilannya terhadap undang-undang negeri.
“Sekiranya beliau perlu hadir ke Sabah atas urusan perbicaraan, permohonan sepatutnya dibuat melalui peguambela mengikut saluran yang betul”, katanya.
Bagaimanapun, Aksyah kesal apabila selepas dibenarkan masuk semula dalam tempoh dua hari, Albert mengambil kesempatan mengadakan sidang media dengan menabur pelbagai tuduhan dan spekulasi tidak berasas terhadap Ketua Menteri dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Albert sepatutnya tidak bersikap celupar dan menambahkan luka sendiri dengan melemparkan tohmahan kepada pemimpin nombor satu negeri ini. Lebih baik beliau mengakui kesilapan berbanding mencetuskan persepsi negatif,” katanya.
Aksyah menegaskan, Albert Tei tidak wajar dilayan istimewa kerana beliau hanyalah individu yang pernah disabitkan kesalahan jenayah dan kini masih berdepan perbicaraan.
“Dalam kenyataannya sendiri, dia mengaku memberi rasuah kepada Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri, tetapi pada masa sama menafikan kesalahan yang dilakukan. Tindakannya ini ibarat senjata makan tuan,” katanya.
Beliau turut melabel Albert sebagai “scammer bertopengkan malaikat” yang sudah banyak menjejaskan imej Sabah menerusi pelbagai pendedahan songsang.
Sehubungan itu, Aksyah menyokong penuh tindakan tegas Kerajaan Negeri dan Ketua Menteri menghalang Albert memasuki Sabah demi menjaga maruah serta kedaulatan negeri.
“Amatlah tepat tindakan Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri Sabah. Inilah bentuk ketegasan yang perlu dipertahankan bagi memastikan tidak ada pihak sewenang-wenangnya mencemarkan nama baik negeri,” katanya.