Hajiji diberi taklimat mengenai sistem air minum penapisan nano di Kampung Baru-Baru, Tuaran.
TUARAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor menggesa Jetama Sdn Bhd memperluaskan pemasangan sistem air minum penapisan nano bertenaga solar ke lebih banyak kawasan pedalaman.
“Sistem yang dibangunkan oleh Jetama ini amat baik kerana mampu membekalkan air terawat daripada telaga tiub ke kawasan yang tidak mendapat akses kepada bekalan air bersih,” katanya selepas melawat kemudahan baharu yang dipasang di Kampung Baru-Baru, di sini, hari ini.
Beliau berkata, penduduk Kampung Baru-Baru tidak pernah menikmati bekalan air terawat sebelum ini kerana lokasi kampung yang terlalu jauh daripada rangkaian paip utama. “Saya berterima kasih kepada Jetama kerana memasang kemudahan ini di sini,” tambahnya.
Menurut Hajiji, sistem tersebut yang menggunakan tenaga solar atau bank bateri untuk menjalankan proses rawatan air amat sesuai bagi kawasan luar bandar, pedalaman serta pulau-pulau di Sabah.
“Saya telah meminta Jetama menimbangkan pemasangan sistem ini di lebih banyak kampung pedalaman,” katanya.
Dengan kos kira-kira RM1.2 juta, sistem air minum mudah alih yang beroperasi secara kendiri itu mampu menghasilkan sehingga 30,000 liter air terawat sehari. Ia turut dilengkapi sensor dan pengawal untuk memantau kualiti air serta prestasi sistem, sekali gus menyesuaikan operasi mengikut keperluan.
Air terawat yang dihasilkan disimpan dalam tangki sebelum diagihkan kepada penduduk melalui paip atau sistem pengagihan lain.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Shahelmey Yahya dan Pengerusi Jetama, Datuk Yusuff Manan.