Mohamad (tengah) diiringi Arthur (kiri) ketika bercakap kepada media.
PAPAR: Sektor agromakanan di Sabah mencatatkan kerugian awal dianggarkan berjumlah RM2.2 juta selepas bencana banjir yang melanda beberapa daerah, baru-baru ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata penilaian akhir kerugian sedang dilaksanakan oleh Jawatankuasa Teknikal di peringkat jabatan dan agensi sebelum permohonan bantuan penuh Tabung Bencana Pertanian (TBP) dan Tabung Bantuan Ternakan dan Perikanan (TBTP) dikemukakan untuk kelulusan.
“Seramai 109 pesawah terjejas dengan keluasan tanaman padi sebanyak 113.43 hektar, melibatkan kerugian kira-kira RM519,963.
“Tanaman selain padi seperti nanas, cili dan sayur-sayuran turut terkesan, membabitkan 61 petani dengan keluasan 78.95 hektar dan kerugian dianggarkan RM748,200.
“Sektor ternakan pula merekodkan kerugian sebanyak RM504,350 melibatkan 23 penternak, dengan kerosakan infrastruktur serta kematian ternakan seperti kambing dan itik.
“Sementara itu, sektor perikanan yang merangkumi nelayan laut dan pengusaha kolam turut terkesan dengan 51 individu terbabit serta kerugian berjumlah RM208,790, selain kerugian berjumlah RM257,000 dialami 58 usahawan tani,” jelas beliau.
Justru, Mohamad menggesa golongan terjejas tampil melaporkan jumlah kerugian kepada jawatankuasa teknikal di peringkat jabatan dan agensi di peringkat negeri atau persekutuan.
“Itulah lawatan pada hari ini saya harap bentuk-bentuk yang belum lagi pihak pegawai datang membuat bancian, kalau ada yang tertinggal sila hubungi pegawai-pegawai peringkat negeri dan federal, kita akan cuba membantu sekadar yang termampu.
“Pihak kerajaan memang turun membuat bancian cuma kalau ada pegawai terlepas pandang, kita harap para penduduk datang untuk memberi perkhabaran dan juga maklumat-maklumat yang kadang-kadangnya pegawai tidak dapat mengetahui dengan tepat.
“Misalnya kalau kerbaunya hilang beberapa ekor, kadang-kadang pegawai dia tidak dapat mengetahui. Melainkan tuan kerbau itu datang,” ujar beliau.
Tambahnya, selaras dengan pengumuman Belanjawan 2025, kerajaan memperuntukkan RM25 juta bagi Tabung Bencana Pertanian (TBP).
Daripada jumlah itu, sebanyak RM15.9 juta telah diluluskan dan disalurkan Kementerian Kewangan kepada KPKM untuk melaksanakan inisiatif berkenaan. Bantuan disalurkan dalam bentuk barangan dan input pertanian kepada golongan sasar di seluruh negara.
Setakat ini, katanya, Sabah telah mengemukakan sembilan permohonan bantuan daripada daerah Penampang, Putatan, Kudat, Beaufort, Ranau dan Tenom dengan jumlah keseluruhan bantuan yang diluluskan bernilai RM212,271.
Beliau yang diiringi Timbalannya, Datuk Arthur Joseph Kurup ditemui media dalam Program Sentuhan Madani: Bencana Banjir @Sabah di sini, pada Selasa.
Dalam lawatan itu, beliau turut meninjau beberapa lokasi terjejas bencana termasuk Projek Sayuran Fertigasi di Kg. Gadong Kimanis, kawasan sawah padi di Kg. Rampazan dan lawatan projek ternakan kerbau di Kg. Kopimpinan Kawang.