NEW DELHI: Seorang remaja berusia 13 tahun mengejutkan pihak berkuasa apabila ditemui selamat selepas menyelinap dari Kabul ke New Delhi dengan bersembunyi di ruang gear pendaratan sebuah penerbangan Kam Air.
Menurut Utusan Malaysia, penerbangan RQ-4401 yang berlepas dari Kabul itu mendarat di Delhi pada 21 September lalu.
Sekitar pukul 11.10 pagi waktu tempatan, kakitangan keselamatan syarikat penerbangan ternampak remaja lelaki tersebut berkeliaran berhampiran pesawat.
Siasatan awal mendapati remaja yang berasal dari Kunduz, Afghanistan itu menaiki pesawat tanpa tiket dengan bersembunyi di bahagian gear pendaratan.
Semasa pemeriksaan menyeluruh dilakukan, pasukan keselamatan dan kejuruteraan syarikat penerbangan menemukan sebuah pembesar suara merah kecil di ruang gear pendaratan pesawat.
Remaja terbabit kemudian disoal siasat oleh agensi berkaitan.
Selepas prosedur wajib selesai, dia dihantar pulang ke Kabul pada hari sama melalui penerbangan Kam Air, RQ-4402.