Hajiji diberi taklimat mengenai projek Lebuhraya Pan Borneo Serusop–Pinturu semasa lawatan kerjanya di Kampung Penimbawan, Tuaran.
TUARAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berpuas hati dengan kemajuan projek jalan raya Serusop – Pinturu sepanjang 20.8 kilometer di bawah Lebuhraya Pan Borneo, di sini.
“Saya melawat tapak projek hari ini dan berpuas hati dengan kemajuannya yang kini mendahului jadual,” katanya selepas meninjau salah satu jajaran jalan di Kampung Penimbawan, di sini, hari ini.
Pembinaan jalan raya bernilai RM465 juta itu bermula pada 20 Januari 2025 dan dijangka siap pada 19 Julai 2028.
Projek ini melibatkan pembinaan jalan raya sehala (single-carriageway) yang menghubungkan Tuaran dan Kota Belud, termasuk sebuah jambatan sepanjang 682 meter.
Dalam lawatan itu, Ketua Menteri telah diberi taklimat oleh Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri, Datuk Philemon Lajawai bersama pegawainya.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Shahelmey Yahya.