FLORIDA: Seorang penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Tampa mengejutkan pihak berkuasa selepas didapati membawa sisa manusia dalam bagasi, sebelum mendakwa ia digunakan untuk tujuan ritual.
Menurut Utusan Malaysia, penemuan mengejutkan itu berlaku ketika penumpang berkenaan membuat deklarasi terhadap 10 batang cerut. Pemeriksa Pertanian Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) menemui beberapa barangan terlarang termasuk tumbuhan yang dilarang, lebih banyak cerut, serta sebuah beg duffel berbalut kertas aluminium.
Pemeriksaan lanjut menemukan bahagian tengkorak manusia di dalam beg tersebut. Semua barangan terbabit dirampas dan dimusnahkan kerana dianggap menimbulkan risiko kesihatan serius.
Menurut Pengarah Operasi Lapangan CBP, Carlos C. Martel, apabila disoal siasat, penumpang berkenaan mendakwa sisa tersebut adalah untuk ritual.
Setakat ini, tidak jelas dari mana penumpang itu datang atau destinasi yang dituju, dan sama ada individu tersebut ditahan. Kes kini diserahkan kepada Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) untuk siasatan lanjut.
Lapangan terbang di Florida sebelum ini pernah menjadi tumpuan kes penyeludupan pelik. Pada Julai lalu, seorang wanita cuba menyeludup dua ekor kura-kura melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Miami dengan menyembunyikannya di dalam coli, namun salah seekor reptilia itu mati.
Pada 2023, seorang wanita turut dikesan cuba membawa seekor ular sawa sepanjang 1.2 meter dalam beg tangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Tampa. Ular itu hanya ditemui selepas bagasinya melalui mesin imbasan X-ray. Wanita terbabit mendakwa ular tersebut adalah haiwan sokongan emosi.
Manakala pada 2018, seorang lagi wanita cuba menyeludup seekor ular Ball Python di Lapangan Terbang Miami dengan membalutnya dalam stoking nilon dan menyembunyikannya di dalam sebuah peranti elektronik.
Sepanjang 2024, Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan (TSA) turut melaporkan hampir 6,700 pucuk senjata api dirampas di pintu pemeriksaan keselamatan di seluruh negara, sedikit menurun berbanding tahun sebelumnya.