Zara Qairina Mahathir
KOTA KINABALU: Pasukan peguam yang mewakili Noraidah Lamat, ibu kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir memaklumkan kehadiran pasukan pakar tulisan kedua mereka.
Menurut Utusan Malaysia, Peguam Mohd. Syarulnizam Salleh berkata, pasukan kedua itu terdiri daripada pemeriksa dokumen forensik bebas, Tay Eue Kam serta dua pensyarah daripada Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Dzulkiflee Ismail dan Dr. Wan Nur Syuhaila Mat Desa, kedua-duanya merupakan pensyarah dan penyelidik kanan, Program Sains Forensik universiti berkenaan.
Pakar tulisan pertama yang dibawa oleh pasukan peguam ibu Zara Qairina ialah pakar tulisan, Dr. Linthini Gannetion yang berada di mahkamah, minggu lalu.
Katapeguam tersebut, analisis daripada pakar-pakar terbabit diperlukan sebelum pihaknya memuktamadkan kesahihan buku-buku dan 15 helaian kertas benar-benar ditulis oleh Zara Qairina.
“Dari awal, kita tahu dokumen ini, dokumen ini sudah banyak kali berpindah tangan. Daripada carian dari guru, daripada serahan kepada polis dan sebagainya.
“Dan sebelum dijumpai, kita tidak tahu berapa kali tangan telah menyentuh dokumen-dokumen tersebut. Ramai ahli dorm tahu, arwah banyak menulis buku ini.
“Buku ini diletakkan di kawasan yang senang diakses, lokernya senang diakses. (Jadi), ada potensi-potensi campur tangan. Kita tidak mahu ragu-ragu,” kata Mohd. Syarulnizam.
Menceritakan lebih lanjut mengenai pakar-pakar yang baharu tiba, Mohd. Syarulnizam memberitahu, pemeriksaan dokumen bermula hari ini sehingga Jumaat.
Antara kaedah yang akan digunakan ialah FTIR Spectroscopy bagi mengenal pasti komposisi dakwat dan bahan kertas.
Pasukan itu juga akan menjalankan pemeriksaan terperinci termasuklah analisis dakwat dan pen, penggunaan cahaya UV/IR, teknik ESDA untuk mengesan tulisan tersembunyi serta analisis tekanan dan urutan penulisan.
“Mereka (pasukan pakar kedua) membawa beberapa peralatan makmal forensik mudah alih dari Kuala Lumpur ke sini.
“Apa yang kita ingin capai dengan pemeriksa dokumen adalah untuk memeriksa lebih banyak lagi aspek dokumen yang telah ditanda di mahkamah.
“Minggu lalu, kita ada kehadiran pakar, Dr. Linthini yang khusus kepada pemeriksaan analisis tulisan tangan dan juga tangan-tangan di kertas-kertas yang telah ditanda, buku yang telah ditanda,” katanya.
Tambah Mohd. Syarulnizam, pasukan kedua itu akan memeriksa aspek-aspek lain seperti dakwat, pen yang digunakan, adakah terdapat kesan diubah, ditambah atau dikurangkan.
“Kita juga mendapatkan replika buku Love and Peace (salah sebuah diari Zara Qairina). Ini bagi membolehkan kita boleh demonstrasi sendiri proses pembinaan semula.
“Kita dapat tahu bahawa sebahagian daripada kertas-kertas (dalam buku) telah dikoyakkan dan ditanda di mahkamah iaitu eksibit Y1 ke Y15.
“(Dengan replika buku Love and Peace), kita boleh melihat proses pembinaan semula. Kita mahu melihat, adakah kertas yang kurang atau ditambah.
“(Ini) kerana kita tahu, dalam kes ini, ada nilai yang berat, tinggi terhadap dokumen-dokumen tersebut. Diari, tulisan, yang mungkin menunjukkan ia adalah refleksi keadaan mental arwah pada ketika itu,” katanya.
Selain itu, Mohd. Syarulnizam berkata, kepastian yang lebih diperlukan melebihi apa yang telah dikemukakan di mahkamah.
“(Kita) memerlukan mata yang lebih teliti untuk mengkaji supaya dokumen ini ada kesinambungan.
“Kita perlukan kesahihan dari setiap gaya tulisan. Salah satu perkara yang kita (boleh) dapat dari analisis pakar-pakar ini,” kata peguam itu.
Pada ketika ini, Mahkamah Koroner sedang mendengar keterangan daripada saksi kanak-kanak kedua.
Prosiding inkues memasuki hari ke-13 hari ini.