TAIPEI: Sekurang-kurangnya 14 orang terbunuh dan 124 lagi hilang selepas sebuah tasik tertimbus berusia puluhan tahun pecah di timur Taiwan berikutan hujan lebat yang dibawa oleh Taufan Ragasa, kata pegawai kerajaan pada Rabu.
Menurut Utusan Malaysia, Taufan Ragasa yang melanda Taiwan dan utara Filipina pada Isnin membawa hujan lebat dan angin kencang, memaksa ribuan penduduk berpindah ke kawasan lebih selamat.
Menurut jurucakap rasmi Kerajaan Kaunti Hualien, Lee Kuan-ting, tasik tersebut pecah pada Selasa, menyebabkan air deras menghanyutkan sebuah jambatan dan melimpah masuk ke sebuah pekan.
“Sehingga jam 7 pagi Rabu, 14 orang disahkan maut dan 18 lagi cedera,” kata Lee kepada AFP. Operasi menyelamat kini sedang giat mencari sekurang-kurangnya 30 individu yang dilaporkan hilang di kawasan tersebut.
Bagaimanapun, Agensi Bomba Nasional Taiwan kemudian mengemas kini angka itu kepada 124 orang hilang.
Menurut pegawai bomba di Hualien, paras banjir meningkat setinggi tingkat dua rumah di beberapa kawasan pada Selasa, menyebabkan kira-kira 263 penduduk terperangkap. Mereka bagaimanapun dilaporkan tidak berada dalam bahaya segera dan diminta menunggu sehingga air surut.
Rakaman video yang dikeluarkan agensi bomba menunjukkan jalan-jalan yang ditenggelami air, kenderaan separa tenggelam, serta pokok tumbang akibat kekuatan ribut.
Secara keseluruhan, lebih 7,600 orang telah dipindahkan di seluruh Taiwan akibat kesan Taufan Ragasa. Di kawasan berhampiran sungai di Hualien, lebih 3,100 orang telah dipindahkan lebih awal dan ditempatkan bersama saudara-mara mereka.
Taiwan sememangnya kerap dilanda ribut tropika antara Julai hingga Oktober setiap tahun. Pada Julai lalu, Taufan Danas mengorbankan dua nyawa dan mencederakan ratusan orang apabila hujan lebih 500 milimeter dicurahkan ke selatan Taiwan hanya dalam satu hujung minggu.