Kesemua ditahan dibawa ke Mahkamah Reman Johor Bahru bagi tujuan permohonan reman.
JOHOR BAHRU: Seramai 12 individu termasuk tujuh pegawai penguat kuasa yang bertugas di Pusat Pemeriksaan Pintu Keluar/Masuk Laut di Terminal Feri Pasir Gudang, Terminal Feri Muar dan Terminal Feri Melaka ditahan reman, bermula hari ini.
Menurut Utusan Malaysia, perintah reman terhadap kesemua suspek dikeluarkan Majistret Suhaili Sapun dengan dua daripadanya direman enam hari manakala 10 yang lain direman lima hari.
Menurut sumber, penahanan kesemua suspek dibuat kerana mereka disyaki terlibat kegiatan rasuah membabitkan sindiket counter setting untuk memudahkan urusan kemasukan warganegara Indonesia ke negara ini.
Suspek yang terdiri daripada 10 lelaki dan dua wanita berusia antara 20 hingga 50-an itu telah ditahan di sekitar Johor dan Pulau Pinang, semalam.
Siasatan awal mendapati kesemua pegawai penguat kuasa berkenaan dipercayai telah menerima bayaran rasuah lebih RM490,000 daripada ejen serta runner yang turut ditahan dalam operasi ini selepas dipercayai aktif sejak tahun lalu hingga awal tahun ini.
Sumber sama turut memaklumkan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut merampas dan menyita pelbagai barangan seperti wang tunai kira-kira RM50,000, kereta jenis Toyota Vellfire serta motosikal jenis Italjet Dragster.
Selain itu, difahamkan SPRM juga telah membuat permohonan bagi membekukan sejumlah 25 akaun perbankan milik 13 individu berlainan melibatkan nilai RM1.2 juta.
Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Hairuzam Mohmad Amin@Hamim mengesahkan tangkapan tersebut dan memberitahu kes disiasat di bawah Sekyen 17(a) dan Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.
Beliau turut memberitahu dua lagi suspek yang turut disiasat telah dibebaskan dengan jaminan SPRM.