Kasim dan Hongo bertukar dokumen MoU.
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP) terus memperluas jaringan global melalui kolaborasi penyelidikan dan akademik apabila telah memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Research Institute for Humanity and Nature (RIHN), Kyoto, Jepun.
Kolaborasi tersebut dimeterai dalam satu acara menandatangani MoU antara kedua-dua pihak yang berlangsung di IBTP.
Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor menandatangani MoU tersebut bagi pihak UMS, manakala RIHN diwakili oleh Ketua Projek ‘Fashloks – Sustainable Hunting Project’, Prof. Madya Dr. Hongo Shun.
Terdahulu, Kasim dalam ucapannya menyifatkan kerjasama tersebut adalah satu langkah strategik untuk terus memperkukuh peranan UMS sebagai “The Brain of Borneo”.
“Selain itu kolaborasi menerusi MoU ini akan menyaksikan kedua-dua institusi akan memperkukuh kerjasama penyelidikan bersama dalam bidang biodiversiti dan pemuliharaan, serta mempromosikan pertukaran akademik.
“Di samping itu, MoU ini juga bukan sahaja menjadi lambang kerjasama rasmi antara kedua-dua institusi tetapi juga mencerminkan komitmen bersama dalam memajukan ilmu, penyelidikan dan inovasi,” katanya.
Tambah beliau, IBTP UMS telah menjalinkan hubungan erat dengan beberapa universiti terkemuka Jepun termasuk Kyoto University, Kagoshima University, Rakuno Gakuen University dan Hokkaido University, serta bakal disertai University of the Ryukyus.
“MoU ini dijangka menjadi pemangkin kepada kerjasama lebih mendalam dalam bidang pemuliharaan biodiversiti, kelestarian alam sekitar serta pembangunan penyelidikan yang memberi impak kepada masyarakat serantau dan global.
“Justeru, diharap kerjasama ini dapat melahirkan penerbitan berimpak tinggi, penganjuran seminar dan persidangan antarabangsa serta program mobiliti staf bagi memperkukuh pertukaran ilmu dan kepakaran,” ujar beliau.
Hadir sama pada majlis tersebut Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar; Pengarah IBTP, Prof. Madya Dr. Fiffy Hanisdah Saikim; dan Timbalan Ketua Projek Fashloks – Sustainable Hunting Project, Prof. Madya Dr. Nahoko Tokuyama.