Hajiji menyaksikan penyerahan mock cek RM100,000 Sumbangan Bantuan Mangsa Banjir daripada Kumpulan Suria kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Haji Safar Untong pada Majlis Pelancaran Kedai Jujur 2025 di Sekolah Kebangsaan (SK) Mutiara, Kota Kinabalu, hari ini.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor menegaskan Kerajaan Negeri mempunyai kuasa penuh dalam menentukan kemasukan individu ke negeri ini, termasuk isu yang dibangkitkan oleh Albert Tei.
“Kerajaan Negeri mempunyai kuasa mutlak dalam menentukan siapa yang boleh masuk ke Sabah atau tidak.
“Tetapi tindakan hanya diambil setelah menerima laporan dan maklumat lengkap daripada pihak keselamatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kedai Jujur 2025 di Sekolah Kebangsaan Mutiara, di sini hari ini.
Mengulas mengenai 13 mangsa yang terkorban dalam kejadian bencana banjir dan tanah runtuh sebelum ini, beliau berkata, sama ada mereka layak menerima manfaat daripada Skim Insurans Rakyat Sabah yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri, masih dalam semakan.
“Saya sudah berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk menyalurkan bantuan berkaitan kematian daripada skim insurans tersebut. Jadi, saya akan semak dan pastikan sama ada mereka layak atau tidak,” katanya.
Menurutnya, walaupun keputusan mengenai skim insurans itu masih diteliti, Kerajaan telah menyalurkan bantuan segera kepada keluarga mangsa.
“Daripada pihak Kerajaan, kita sudah pun memberi bantuan melalui Yayasan Kebajikan Sabah, iaitu RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa yang meninggal dunia. Selain itu, Kerajaan Negeri juga menyalurkan RM10,000,” jelasnya.
Beliau menambah, siasatan lanjut akan dibuat bagi memastikan sama ada skim insurans itu turut meliputi mangsa kejadian berkenaan.