Anthony Loke
HULU LANGAT: Pelesenan dan pengawalseliaan kenderaan rekreasi (RV) secara komersial sebagai Kenderaan Sewa dan Pandu Pelancongan (KSPP) bagi Semenanjung dan Kereta Sewa Pandu (KSP) di Sabah, Sarawak serta Labuan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, dasar baharu itu akan melibatkan kenderaan baharu sama ada dipasang dalam negara (CKD) atau diimport sepenuhnya (CBU) bagi membolehkan ia didaftarkan sebagai kenderaan komersial untuk tujuan sewa pandu sendiri.
Menurutnya, pemilik RV yang sedia ada juga boleh memohon untuk mengkomersialkan kenderaan masing-masing dengan syarat usia kenderaan tidak melebihi 15 tahun dan lulus pemeriksaan teknikal yang akan ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Ini memberi peluang kepada mereka yang sudah memiliki RV untuk menjana pendapatan melalui aktiviti pelancongan, selain mematuhi syarat keselamatan jalan raya,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Pejabat Baharu JPJ Cawangan Kajang, hari ini.
Tambahnya, setakat Ogos lalu sebanyak 1,405 unit kenderaan didaftarkan bagi kegunaan persendirian menunjukkan peningkatan positif penggunaan RV di Malaysia.
“Berdasarkan pemantauan, kita dapati banyak iklan menawarkan perkhidmatan sewa pandu RV secara persendirian dalam media sosial. Ini bukti minat rakyat semakin meningkat terhadap segmen pelancongan berasaskan RV.
“Namun dasar semasa hanya membenarkan pendaftaran bagi kegunaan persendirian, sekali gus mengehadkan potensi industri ini,” ujarnya.
Anthony berkata, Kementerian Pengangkutan bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya akan mewujudkan sistem single window bagi memudahkan proses pendaftaran dan pelesenan secara digital.
Katanya, pelaksanaan dasar baharu itu bukan sahaja memberi jaminan keselamatan kepada pengguna, malah meningkatkan keyakinan pelabur untuk melabur dalam industri RV termasuk membina kilang pemasangan di negara ini.
“Perkembangan industri RV seiring dengan agenda pembangunan eko-pelancongan memandangkan semakin banyak lokasi perkhemahan dan ‘glamping’ dibangunkan di Malaysia.
“Malah terdapat syarikat dari Jerman yang kini berunding dengan kerajaan untuk menjadikan Malaysia hab pemasangan RV di ASEAN kerana melihat potensi pasaran yang besar,” jelasnya.
Anthony menegaskan, penguatkuasaan yang jelas dan pelesenan yang teratur penting bagi melindungi kepentingan penyewa, mengawal selia operasi serta memastikan standard kenderaan sentiasa dipatuhi.