BRUSSELS: Beberapa lapangan terbang utama di Eropah bergelut memulihkan operasi susulan serangan siber yang mengganggu sistem daftar masuk automatik, menyebabkan kelewatan dan pembatalan penerbangan serta kesesakan teruk di terminal.
Menurut Utusan Malaysia, serangan itu dilaporkan menyasarkan sistem daftar masuk dan pelepasan yang dibangunkan oleh Collins Aerospace, sebuah syarikat milik RTX dan menjejaskan operasi di Lapangan Terbang Heathrow di London, Lapangan Terbang Berlin Brandenburg, serta Lapangan Terbang Brussels.
Insiden ini mula dikesan pada Jumaat dan terus memberi kesan sehingga hujung minggu.
Lapangan Terbang Brussels paling terkesan apabila pihak pengurusan mengarahkan pembatalan separuh daripada semua penerbangan keluar yang dijadualkan pada Isnin.
Menurut jurucakap lapangan terbang tersebut, Collins Aerospace masih belum membekalkan versi perisian baharu yang selamat bagi membolehkan operasi kembali pulih sepenuhnya.
Bagi mengelakkan kesesakan dan pembatalan saat akhir, sebanyak 50 daripada 257 penerbangan dibatalkan pada Ahad.
Sehari sebelumnya, 25 penerbangan juga dibatalkan daripada jumlah keseluruhan 234 penerbangan yang dijadualkan.
Walaupun gangguan di Heathrow dan Berlin masih belum selesai sepenuhnya pihak pengurusan kedua-dua lapangan terbang melaporkan keadaan lebih terkawal.
Di Berlin, penyelesaian secara manual dilaksanakan dengan kelewatan berlaku tetapi dalam julat yang dianggap biasa.
Heathrow pula menyatakan majoriti penerbangan masih berjalan seperti biasa, walaupun kerja-kerja pemulihan sistem terus dijalankan.
RTX dalam kenyataannya pada Sabtu berkata, gangguan itu melibatkan perisian MUSE yang digunakan oleh beberapa syarikat penerbangan, dan mereka kini berusaha memulihkan sistem secepat mungkin.
Penumpang yang sudah membuat daftar masuk dalam talian atau tidak mempunyai bagasi untuk daftar masuk dilaporkan tidak terlalu terjejas, namun mereka yang bergantung kepada kaunter daftar masuk menghadapi kelewatan panjang.
Siasatan kini dijalankan oleh pihak berkuasa serantau bagi mengenal pasti punca serangan serta pihak yang bertanggungjawab.
Menurut analisis oleh penyedia data penerbangan Cirium, tahap gangguan di Heathrow diklasifikasikan sebagai rendah, Berlin mengalami kelewatan sederhana, manakala Brussels terus berdepan kelewatan dan pembatalan pada tahap signifikan.