PETALING JAYA : Satu siasatan dijalankan polis berhubung satu kes pendedahan dan pembocoran maklumat berkaitan kanak-kanak melalui media sosial.
Menurut Utusan Malaysia, siasatan ini dilakukan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu selepas kes ini telah dilaporkan pada 19 September lalu kira-kira pukul 4.15 petang.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan, Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Katanya, setakat ini, pihak polis telah merakam percakapan pengadu dan membuat permohonan analisis kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
“Dalam masa yang sama, pihak polis sedang berusaha mendapatkan rakaman percakapan pihak pendakwa raya (TPR) serta peguam yang terlibat.
“Usaha turut dijalankan bagi mengesan suspek dan melengkapkan keseluruhan siasatan sebelum dirujuk kepada pihak berkaitan untuk tindakan lanjut,”katanya dalam satu kenyataan.
Kasim menegaskan, sebarang pendedahan atau penyebaran maklumat berkaitan kanak-kanak, khususnya melalui platform media sosial, merupakan satu kesalahan serius yang boleh dikenakan tindakan undang-undang.
“Justeru, orang ramai dingatkan agar lebih berhati-hati dan bertanggungjawab dalam mengendalikan maklumat sedemikian demi menjaga keselamatan serta kesejahteraan kanak-kanak,”jelasnya.
Pada Jumaat lalu, prosiding inkues yang sepatutnya mendengar keterangan saksi dalam kalangan pelajar ditangguhkan berikutan penyebaran maklumat peribadi saksi di media sosial.
Peguam Datuk Ram Singh yang mewakili salah seorang pelajar tersebut berkata, maklumat yang tersebar di aplikasi TikTok telah mendedahkan butiran penuh saksi tersebut termasuk nama penuh, alamat tempat tinggal dan nombor telefon.