KENINGAU: Persatuan Kebudayaan Keningau (KenCA) dengan kerjasama Persatuan Gana Sabah, Persatuan Dusun Kujau Sabah, Pertubuhan Etnik Murut Nabai Sabah serta Persatuan Kebudayaan Dusun BunduLiwan Keningau akan menganjurkan Program Pemerkasaan Budaya Etnik Keningau 2025.
Program ini bertujuan memperkasa serta memelihara warisan budaya etnik di Keningau melalui pelbagai pengisian, termasuk bengkel tarian tradisional, persembahan muzik etnik dan pameran kraftangan masyarakat tempatan. Inisiatif ini turut disokong Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Keningau (KeTCA) yang dipimpin Rafie Robert.
Penganjuran program dijadualkan berlangsung di empat lokasi berbeza sekitar daerah Keningau bermula Oktober hingga November 2025, dengan tumpuan kepada seni tari, muzik etnik dan hasil kraftangan yang mencerminkan kekayaan identiti budaya tempatan.
Hadir sama dalam mesyuarat persediaan ialah Jayline Lian mewakili Persatuan Dusun Kujau Sabah, Harry Gitik selaku Pengerusi Persatuan Kebudayaan Dusun BunduLiwan Keningau, serta Nuar Selamat daripada Pertubuhan Etnik Murut Nabai Sabah.
Pengerusi KenCA, Haji Mohd. Zaki Zakaria yakin program ini mampu menjadi platform penting bagi menghubungkan generasi lama dan baharu, selain memperkukuh perpaduan masyarakat majmuk di Keningau.