Hajiji bersama jemputan lain pada Majlis Pelancaran Kedai Jujur 2025 di Sekolah Kebangsaan (SK) Mutiara, Kota Kinabalu, hari ini.
KOTA KINABALU: Generasi muda hari ini mesti dipersiapkan dengan didikan bermoral berlandaskan integriti kerana mereka adalah pemimpin yang bakal menentukan masa depan negara, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Menurutnya, nilai-nilai murni seperti kejujuran, amanah dan tanggungjawab perlu dibentuk seawal usia di rumah, kemudian diperkukuh di sekolah serta diamalkan dalam kehidupan seharian.
“Program Kedai Jujur adalah platform terbaik untuk pelajar mempraktikkan nilai integriti setiap hari. Ia latihan berharga untuk mempersiapkan mereka menghadapi cabaran dunia luar yang lebih kompleks,” katanya ketika merasmikan Program Kedai Jujur 2025 di Sekolah Kebangsaan Mutiara, di sini hari ini.
Beliau menegaskan, mendidik anak-anak agar berpegang pada integriti bukanlah tanggungjawab Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semata-mata, sebaliknya harus digalas bersama seluruh masyarakat.
Katanya, kejayaan membudayakan integriti hanya dapat dicapai apabila semua pihak berganding bahu menjadikannya amalan dalam setiap aspek kehidupan.
Hajiji yakin bahawa memupuk kejujuran dan tanggungjawab dalam diri anak-anak sejak kecil adalah asas kepada pembinaan barisan pemimpin masa depan yang berintegriti dan berwibawa.
“Konsep Kedai Jujur ini boleh dijadikan benteng awal bagi menghalang salah laku tidak berintegriti dalam kalangan pelajar sekolah,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada tiga agensi utama iaitu SPRM, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan SuriaGroup – atas komitmen luar biasa mereka melancarkan Program Kedai Jujur 2025.
Katanya, permuafakatan antara sektor Kerajaan, korporat dan institusi pendidikan mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan masyarakat yang holistik.
Hajiji turut menyeru agar lebih banyak sekolah menyertai program itu serta mengingatkan bahawa integriti bermula di rumah, di sekolah dan di setiap sudut kehidupan.
Katanya, konsep Kedai Jujur berasaskan amalan masyarakat Sabah sejak dahulu yang mengamalkan gerai jualan tanpa penjaga, meletakkan barangan bersama tabung bayaran dan mempercayai kejujuran pembeli.
“Budaya ini menjadi asas kepada program Kedai Jujur di sekolah, agar nilai tersebut terus hidup dalam kalangan generasi baharu,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada SuriaGroup, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tempatan yang menjadi perintis program itu dan berharap usaha tersebut menjadi inspirasi kepada syarikat lain untuk tampil menyumbang dalam memperkukuh budaya integriti, khususnya di kalangan anak-anak Sabah.
Katanya, Program Kedai Jujur 2025 dilaksanakan di 10 buah sekolah seluruh Sabah termasuk di Kota Kinabalu, Kudat, Sandakan, Tawau dan Lahad Datu, dengan SK Mutiara menjadi lokasi pelancaran rasmi.
Beliau turut mengumumkan kelulusan peruntukan khas sebanyak RM20,000 kepada SK Mutiara untuk membiayai aktiviti sekolah tersebut.