Tangkap layar daripada video tular yang memaparkan kejadian pukul dekat Lebuhraya Elite berhampiran RnR Dengkil Arah Utara di Kuala Langat, Selangor, hari ini.
KUALA LANGAT: Polis sedang mengesan suspek kes pukul seorang pemandu lori dekat Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (Elite) berdekatan R&R Dengkil, di sini, kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd. Akmalrizal Radzi berkata, siasatan polis mendapati kejadian berpunca daripada tindakan pengadu yang membunyikan hon ketika suspek pemandu kereta keluar dari susur secara meluru.
Menurutnya, apabila sampai di kawasan berhampiran R&R Dengkil Arah Utara, dalam keadaan yang sesak pengadu memberhentikan lorinya dan pergi berjumpa suspek, seorang lelaki.
“Suspek kemudian mengambil sebatang kayu dari dalam keretanya dan memukul lengan sebelah kiri pengadu sebanyak sekali. Bagaimanapun, pengadu terus menghampiri lelaki berkenaan.
”Lelaki itu mengundur ke belakang sebelum pengadu pergi ke lorinya untuk mengambil telefon bimbit bagi tujuan mengambil gambar,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Jelas Akmalrizal, dalam kejadian tular tersebut, pengadu sempat mengambil gambar nombor pendaftaran kereta jenis Perodua Alza itu sebelum tampil ke balai polis di Kuala Langat untuk membuat laporan.
“Polis membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 324 dan 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
”Polis masih giat mengesan kesemua suspek terlibat. Polis menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan mana-mana individu yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berhampiran,” ujarnya.
Tambahnya, maklumat juga boleh disalurkan terus kepada Bilik Gerakan, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di talian 03-31872222.