Masiung Banah
KOTA KINABALU: Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah menyifatkan tindakan pembangkang menuding jari terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berhubung isu jalan raya, air dan elektrik sebagai usaha meraih kredit politik serta simpati rakyat.
Beliau berkata, ketiga-tiga isu berkenaan sebenarnya terletak di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan, namun fakta itu diputar belit bagi mencetuskan persepsi negatif terhadap kepimpinan Hajiji.
“Langkah pemimpin dan pengikut pembangkang menanam kebencian kepada kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kerana isu jalan raya, air dan elektrik, bererti mereka sebenarnya menghentam Kerajaan Persekutuan.
“Tindakan mereka bermotif politik untuk meraih sokongan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17, sedangkan isu sama juga berlaku semasa mereka memegang tampuk kerajaan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Masiung berkata, jika benar pembangkang ikhlas memperjuangkan rakyat, mereka sepatutnya mendesak Kerajaan Persekutuan menyelesaikan masalah itu kerana mempunyai wakil di Parlimen.
Namun katanya, kerana terdesak untuk kembali berkuasa selepas ditolak rakyat, mereka memilih untuk menuding jari kepada Kerajaan Negeri demi mengaburi mata rakyat.
Beliau menjelaskan, Kerajaan Negeri tidak berlepas tangan, namun penyelesaian memerlukan masa kerana masalah infrastruktur yang membelenggu Sabah sudah berlarutan sejak sekian lama.
Menurutnya, kebanyakan jalan raya yang rosak adalah berstatus jalan Persekutuan di bawah kuasa Kerajaan Pusat, manakala isu elektrik pula terletak di bawah tanggungjawab Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang memiliki Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity).
“Apabila bekalan elektrik terputus, Hajiji dipersalahkan, sedangkan hakikatnya Sabah Electricity adalah anak syarikat TNB milik Persekutuan. Kerajaan Negeri hanya memegang 18 peratus saham, tanpa kuasa mutlak. Jadi rakyat perlu faham fakta sebenar,” katanya.
Berkaitan isu air, Masiung menjelaskan, masalah berpunca daripada tindakan kerajaan negeri terdahulu yang menamatkan syarikat konsesi air dengan alasan mahu menjimatkan kos, tetapi akhirnya meningkatkan perbelanjaan.
“Kerajaan Negeri terpaksa membayar RM300 juta kepada syarikat konsesi berkenaan termasuk ganti rugi kerana kontrak ditamatkan sebelum tempoh matang,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan, pembangkang tidak sepatutnya menutup kelemahan lampau mereka dengan membesar-besarkan isu sedia ada.
Masiung berkata, tumpuan Kerajaan GRS kini adalah bekerjasama dengan Kerajaan Pusat bagi mencari penyelesaian terbaik, termasuk melalui pertemuan delegasi Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) Sabah dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini.
Katanya, pengalaman beliau menyaksikan tiga kerajaan negeri dan tiga ketua menteri membuktikan pencapaian Hajiji lebih baik berbanding pentadbiran terdahulu.
“Dalam tempoh empat tahun pertama, rizab Kerajaan mencecah RM8.08 bilion – tertinggi dalam sejarah Sabah. Pendapatan negeri juga meningkat lebih RM7 bilion, angka yang tidak pernah dicatatkan sebelum ini,” katanya.