Tun Musa (dua dari kiri) bergambar kenangan bersama rombongan Sabah Electricity.
KOTA KINABALU: Bekalan elektrik Pantai Timur Sabah berjaya dipulihkan sepenuhnya selepas terjejas akibat menara milik Sabah Electricity Sdn. Bhd. (Sabah Electricity) tergelincir susulan tanah runtuh di Kampung Sarapung, Penampang.
Kira-kira 230,000 pengguna di Sandakan, Lahad Datu, Kunak, Semporna, Beluran dan Kinabatangan mengalami gangguan bekalan sejak beberapa hari lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Datuk Ir. Mohd. Yaakob Jaafar berkata, grid Sabah kembali bersambung kira-kira pukul 8.10 malam Rabu, sebelum semua pengguna yang terjejas menikmati semula bekalan elektrik pada pukul 10.20 malam.
“Alhamdulillah, kita bersyukur kerana berjaya menyambungkan semula grid dari Kota Kinabalu hingga Sandakan. Semua feeder berjaya dipulihkan dengan pantas dan bekalan elektrik kembali stabil,” katanya selepas melakukan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman, pada Khamis.
Kunjungan itu bertujuan memberikan maklumat terkini pengurusan krisis yang sedang dihadapi, perkembangan terbaru daripada pihak SESB di samping memperkenalkan Pengerusi Sabah Electricity, Saadiah Aziz yang dilantik berkuatkuasa 31 Julai lalu.
Mengenai kesiapsiagaan di Pantai Timur, Yaakob berkata SESB melaksanakan pemantauan udara menggunakan helikopter selain menempatkan pasukan di setiap pencawang utama bagi memastikan tindakan segera jika berlaku sebarang kejadian.
“Bilik gerakan di ibu pejabat masih diaktifkan dan akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa,” jelasnya.
Sementara itu, berhubung seorang kakitangan SESB yang dihanyutkan arus deras di Sungai Kampung Nuntunan, Apin-Apin, Keningau, beliau memaklumkan misi pencarian masih diteruskan.
“Kami amat mengambil berat kebajikan keluarga mangsa dan menghantar wakil syarikat serta kesatuan untuk memberikan sokongan moral. Insya-Allah, pihak syarikat akan menjaga kebajikan keluarga mangsa,” ujarnya.
Beliau menambah, SESB turut menambah baik prosedur operasi standard (SOP) dengan meningkatkan aspek keselamatan petugas termasuk penyediaan jaket keselamatan, peralatan komunikasi jarak jauh serta kemudahan lifebase bagi menghadapi situasi banjir.