David Chan
KOTA KINABALU: Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) Cawangan Sabah menegaskan orang ramai agar tidak mempolitikkan insiden gangguan bekalan elektrik yang melanda sebahagian besar negeri baru-baru ini.
Menurut YPNM, kejadian itu berpunca daripada faktor semula jadi yang tidak dapat dijangka, bukan kelemahan mana-mana pihak.
“Gangguan bekalan elektrik berlaku susulan runtuhan tanah akibat hujan lebat luar biasa yang menyebabkan menara penghantaran 275kV tumbang. Ini adalah bencana alam yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan telah menjejaskan sistem penghantaran elektrik utama di negeri ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sejurus insiden dilaporkan, Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) bersama pasukan teknikal telah menggerakkan usaha pemulihan, termasuk kerja-kerja pembaikan dan penyelamat.
Bekalan elektrik dijangka dipulihkan secara berperingkat dengan sasaran kembali normal dalam tempoh 48 jam.
YPNM turut merakamkan penghargaan kepada pasukan teknikal SESB yang bekerja tanpa mengira masa bagi memastikan pengguna kembali menikmati bekalan elektrik dengan segera.
Dalam masa sama, YPNM menggesa orang ramai supaya bersabar serta memberikan ruang kepada pasukan teknikal menyelesaikan kerja-kerja baik pulih.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mencetuskan panik, dan paling penting, tidak mempolitikkan insiden ini kerana ia adalah bencana alam di luar kawalan mana-mana pihak,” jelas kenyataan itu.
YPNM memberi jaminan akan terus memantau perkembangan situasi berkenaan dan menyalurkan maklumat terkini demi kepentingan pengguna di Sabah.