Nizam Abu Bakar Titingan
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menyokong penuh keputusan Kerajaan Negeri membatalkan sambutan Hari Malaysia peringkat negeri sebagai langkah mendahulukan keselamatan rakyat berikutan bencana banjir besar yang melanda beberapa daerah di Sabah.
Beliau berkata, keputusan itu adalah tindakan penuh tanggungjawab kerana dalam keadaan getir ketika ini, tumpuan utama semua pihak adalah melindungi nyawa, memastikan kesejahteraan komuniti dan membantu mangsa yang terjejas.
“Sambutan boleh ditunda, tetapi nyawa dan keselamatan rakyat tidak boleh diganti,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Nizam yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri menegaskan, rakyat Sabah perlu terus bersatu hati, saling membantu dan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa serta pasukan penyelamat yang sedang bertungkus-lumus bekerja siang dan malam.
Menurutnya, setiap sumbangan, sama ada dalam bentuk barangan asas, tenaga sukarela atau doa, amat bermakna bagi meringankan beban mangsa bencana.
“Hari Malaysia adalah simbol perpaduan. Dalam semangat itu, marilah kita semua menunjukkan solidariti bersama mangsa-mangsa bencana, bukan sahaja dengan doa dan kata-kata semangat, tetapi juga melalui tindakan nyata,” ujarnya.
Nizam yang juga Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), yakin bahawa dengan kesatuan hati, ketabahan serta tindakan bersama, Sabah akan mampu bangkit kembali daripada dugaan tersebut.
“Inilah masa untuk kita membuktikan bahawa semangat rakyat Sabah bukan sekadar slogan, tetapi realiti hidup yang menzahirkan kasih sayang kita kepada negeri dan rakyatnya,” tambah beliau.