Dr. Joachim (duduk, tengah) bergambar bersama dengan Ketua-ketua Daerah dan semua yang hadir dalam persidangan Ketua-ketua Adat Negeri Sabah 2025.
KENINGAU: Persidangan Ketua-Ketua Adat Negeri Sabah 2025 hari ini menggariskan kepentingan memperkukuh institusi adat melalui penubuhan Jawatankuasa Penasihat Undang-Undang yang dipimpin oleh peguam Anak Negeri, selain memperjuangkan dana khas bagi memelihara peranan adat sebagai teras perpaduan dan pembangunan masyarakat.
Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, inisiatif tersebut membuktikan adat bukan sekadar sejarah, tetapi menjadi sumber kekuatan dalam membina perpaduan serta kemajuan Sabah.
“Persidangan ini menjadi wadah terbaik untuk membincangkan isu-isu berkaitan kepentingan Anak Negeri, termasuk cadangan menubuhkan Jawatankuasa Penasihat Undang-Undang, memperjuangkan dana bagi memperkukuh institusi adat, serta menegaskan kembali tuntutan terhadap keadilan Batu Sumpah Keningau,” katanya ketika merasmikan persidangan itu di Dewan Salingkawang, Pusat Kraftangan Sabah, di sini, kelmarin.
Dr. Joachim berkata, Batu Sumpah Keningau yang dimeteraikan pada 1963 kekal sebagai simbol janji mempertahankan hak-hak rakyat Sabah yang dijamin dalam pembentukan Malaysia, sekali gus menjadi asas perjuangan institusi adat hingga ke hari ini.

Dr. Joachim (tengah) bersalaman dan menyantuni peserta persidangan itu.
“Usaha ini penting untuk mengangkat peranan institusi adat sebagai penjaga warisan dan budaya Anak Negeri, di samping menjadi rakan strategik kerajaan dalam memastikan pembangunan negeri berjalan seiring dengan pemeliharaan identiti serta sejarah kita,” jelasnya.
Dr. Joachim turut menegaskan bahawa penganjuran persidangan itu bertepatan dengan sambutan Hari Malaysia pada 16 September, yang memperingati penyertaan Sabah dalam pembentukan Persekutuan Malaysia.
Katanya, resolusi yang dicapai dalam persidangan berkenaan diharap mampu memberi manfaat kepada masyarakat dan negeri, sekali gus memperkukuh hubungan antara kaum demi kesejahteraan rakyat Sabah.
Persidangan anjuran Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (MHEANS) itu menghimpunkan
Ketua-ketua Daerah dari setiap daerah.
Turut hadir Setiasaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr. Jamili Nais; Presiden Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah dan Pegawai Kemajuan Masyarakat DUN Bingkor, Tinus Majip.