Tun Musa Aman
KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tuan Yang Terutama Tun (Dr) Musa Haji Aman menegaskan bahawa perpaduan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, agama dan budaya perlu terus diperkukuhkan demi kestabilan dan kemajuan negara.
Dalam perutusannya sempena sambutan Hari Malaysia ke-62, Tun Musa berkata Malaysia lahir daripada semangat perpaduan, persefahaman serta visi bersama pada 16 September 1963 apabila Malaya, Sabah dan Sarawak bersatu membentuk sebuah persekutuan yang unik.
“Malaysia dikurniakan kepelbagaian kaum, budaya dan agama yang kaya. Kepelbagaian ini tidak seharusnya menjadi punca perpecahan, sebaliknya kekuatan yang menyatukan kita,” katanya.
Beliau menekankan bahawa peranan Sabah dan Sarawak dalam pembentukan negara amat besar, termasuk sumbangan terhadap kestabilan politik, pertumbuhan sosioekonomi dan kepelbagaian budaya Malaysia.
Namun demikian, katanya, masih banyak usaha yang perlu dilakukan untuk mengurangkan jurang pembangunan di Sabah. “Sabah yang lebih kuat akan menjadikan Malaysia lebih kukuh. Pembangunan mesti sampai ke setiap pelosok negeri agar tiada siapa yang tertinggal,” ujarnya.
Tun Musa turut mengingatkan bahawa tiada ruang untuk sikap fanatik perkauman atau agama di negara ini sekiranya Malaysia mahu terus maju. Menurut beliau, Sabah adalah contoh terbaik keharmonian masyarakat berbilang etnik yang hidup aman dalam suasana saling menghormati.
Beliau menyeru semua pemimpin politik agar mengatasi kepentingan sempit serta tidak menimbulkan perpecahan demi keuntungan politik. “Sebaliknya, para pemimpin harus memberi tumpuan kepada idea bernas, penyelesaian praktikal dan dasar-dasar yang dapat memperkasa rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Tun Musa dan Toh Puan turut menzahirkan takziah kepada keluarga mangsa banjir dan tanah runtuh akibat hujan berterusan di Sabah yang meragut nyawa serta menyebabkan kerosakan harta benda.
“Dalam masa sukar ini, saya menyeru komuniti yang terjejas agar berwaspada dan mematuhi nasihat pihak berkuasa. Marilah kita bersama-sama menghulurkan bantuan agar proses pemulihan dapat dilaksanakan melalui semangat ketabahan dan gotong royong,” tambahnya.
Tun Musa mengajak rakyat memperbaharui komitmen kepada solidariti, keadilan dan kemakmuran.
“Bersama-sama, dengan saling menghormati dan tujuan yang dikongsi bersama, kita akan terus membina sebuah Malaysia yang aman, progresif dan tidak mudah goyah,” katanya sambil mengucapkan Selamat Hari Malaysia.