KENINGAU: Komuniti Pelancongan dan Tagal Kampung Rantai, Apin-Apin dengan kerjasama Persatuan Pelancongan & Kebudayaan Keningau (KeTCA) telah menganjurkan pertandingan Sukan Rakyat bersempena sambutan Hari Malaysia.
Acara yang dinamakan Malaysia Day Activity itu berjaya menarik penyertaan penduduk setempat sekali gus memeriahkan suasana dengan semangat kekitaan dan perpaduan.
Program berkenaan disempurnakan oleh Pengerusi KeTCA, Rafie Robert. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa penganjuran aktiviti sebegini penting bagi menyemarakkan semangat perpaduan, mengeratkan silaturahim serta memperkukuh kerjasama antara komuniti dan persatuan.
“Selain menggalakkan gaya hidup sihat dan menghiburkan masyarakat, program ini juga berperanan memperkukuh hubungan sesama komuniti,” katanya.
Menurut Rafie, usaha itu turut menjadi platform penting dalam mempromosikan produk pelancongan komuniti di daerah Keningau, seiring dengan hasrat memperkukuh sektor pelancongan berasaskan masyarakat.
Beliau yakin, melalui penglibatan aktif penduduk setempat dalam program seumpama ini, Keningau akan terus dikenali sebagai destinasi pelancongan yang menawarkan pengalaman budaya dan komuniti yang unik.