KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan yang juga Naib Pengerusi DAP Sabah, Jannie Lasimbang menegaskan bahawa penganjuran pertunjukan bunga api sempena Hari Malaysia pada ketika Sabah dilanda banjir dan tanah runtuh adalah tidak wajar.
Beliau berkata, Kerajaan sepatutnya menzahirkan empati kepada mangsa dengan menyalurkan dana tersebut kepada tabung bantuan bencana.
“Hari Malaysia memang wajar diraikan, tetapi apabila rakyat sedang menderita, bunga api hanya akan menjejaskan sentimen rakyat dan menimbulkan persoalan sama ada keselamatan serta kebajikan mereka benar-benar diutamakan,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, hujan lebat berterusan sejak kebelakangan ini telah menyebabkan sungai melimpah, menenggelamkan kawasan rendah, mencetuskan tanah runtuh, merosakkan infrastruktur, malah memusnahkan kediaman.
“Mangsa ketika ini sama ada sibuk membersihkan rumah yang rosak atau berpindah ke pusat pemindahan sementara dengan hanya membawa sedikit harta benda. Kehidupan mereka benar-benar terhimpit,” ujarnya.
Jannie mencadangkan agar dana bunga api dialihkan untuk membantu keluarga mendapatkan barangan asas atau membaiki jalan, jambatan dan sistem perparitan yang rosak akibat bencana.
“Sekiranya dana ini digunakan untuk pembinaan semula infrastruktur, ia pasti membawa manfaat nyata pasca bencana dan mengurangkan beban mangsa,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa semangat sebenar sambutan Hari Malaysia tidak terletak pada kemeriahan bunga api, sebaliknya pada keselamatan dan ketenangan rakyat untuk meraikan bersama keluarga.
Selain mengeluarkan seruan terbuka, Jannie turut turun padang melawat kawasan terjejas, menemui mangsa serta mengiringi Ketua Menteri Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor meninjau lokasi tanah runtuh.
Pejabat ADUN Kapayan juga kini giat mengumpul derma masyarakat bagi membeli bakul makanan dan keperluan harian untuk dihantar ke kawasan terjejas.
Jannie turut menyeru individu yang berkemampuan menyalurkan bantuan dengan menghubungi Alison Wong di talian 014-3514466.
“Harapan saya agar semua pihak dapat bersatu padu pada waktu sukar ini, menzahirkan semangat tolong-menolong demi mengharungi bencana bersama. Tuhan lindungi Sabah, Tuhan lindungi rakyat kita,” katanya.