KENINGAU: Ketua Pemuda GRS Keningau, Rafie Robert yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.40 Bingkor, Datuk Robert Tawik turun padang melaksanakan pemantauan di Kampung Kota Ayangan yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.
Turut serta dalam sesi pemantauan tersebut ialah Ketua Kampung Kota Ayangan, Haji Musa Numan; Pengerusi JKKK Kampung Kota Ayangan, Jamatin bin Kuman; Setiausaha JKKK, Syafiee Ludi; Penolong Jurutera Pejabat Daerah Keningau, Roy Alffian Kassim serta barisan Pemuda GRS Keningau. Kehadiran pelbagai pihak ini mencerminkan komitmen bersama dalam menangani isu banjir yang membimbangkan penduduk setempat.
Hasil tinjauan mendapati beberapa kawasan aliran sungai dan sistem perparitan di sekitar kampung memerlukan perhatian segera. Antara punca utama limpahan air semasa kejadian dikenal pasti berpunca daripada hujan lebat berterusan, sistem perparitan yang tersumbat oleh sampah-sarap serta kurangnya penyelenggaraan sehingga menjejaskan kelancaran aliran air.
Sehubungan itu, inisiatif segera akan dilaksanakan dengan melibatkan kerjasama Pejabat Daerah Keningau, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah serta agensi berkaitan lain bagi mencari penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang.
Dalam masa sama, penduduk kampung turut disarankan supaya memainkan peranan aktif dengan memastikan sungai, parit dan sistem saliran sentiasa bersih serta bebas daripada sampah bagi mengelakkan kejadian banjir berulang.