KENINGAU: Sekolah Kebangsaan (SK) Bunsit menganjurkan Program Perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia dengan penyertaan kira-kira 250 murid, ibu bapa serta guru.
Perarakan bermula dari perkarangan SK Bunsit dan berakhir di Taman Bandukan Riverside Resort, sambil dimeriahkan dengan nyanyian lagu Jalur Gemilang oleh para peserta yang menambahkan lagi suasana penuh semangat patriotik.
Ketibaan rombongan di Taman Bandukan Riverside Resort disambut oleh pengarah dan pemilik resort, Rafie Robert yang turut menyampaikan bakul makanan kepada semua peserta sebagai tanda penghargaan dan sokongan terhadap penganjuran program berkenaan.
Penganjuran program ini bukan sahaja memupuk semangat cintakan negara dalam kalangan murid, malah turut mengeratkan hubungan silaturahim antara ibu bapa, guru dan masyarakat setempat.
Usaha sebegini diharap dapat diteruskan demi memastikan perpaduan dan kemakmuran negara terus terpelihara untuk generasi akan datang.