PENAMPANG: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kedua tragedi tanah runtuh di Kampung Sarapung, di sini, berakhir dengan penemuan mayat seorang warga emas berusia 97 tahun yang tertimbus sejak malam kelmarin.
Mangsa lelaki itu ditemui pasukan bomba pada jam 10.35 pagi tadi di tingkat bawah rumah dua tingkat jenis separuh kekal yang runtuh selepas dilanda tanah runtuh.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, mayat mangsa berjaya dikeluarkan 10 minit kemudian selepas anggota bomba bersama unit khas STORM dan bantuan orang kampung yang membersihkan runtuhan menggunakan peralatan manual.
“Mayat mangsa dibawa sejauh kira-kira 750 meter dengan pengusung ke kawasan selamat sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Mangsa pertama, seorang wanita sebelum ini sempat diselamatkan orang awam dan dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan.
Menurut JBPM Sabah, cabaran utama pasukan penyelamat ialah keadaan jalan masuk yang terputus akibat banjir dan tanah runtuh, memaksa anggota berjalan kaki sejauh tiga kilometer ke lokasi kejadian.
Dalam operasi itu, seramai 30 anggota bomba dari BBP Penampang, Kota Kinabalu, pasukan STORM serta unit dron terlibat, dengan kerjasama sembilan anggota polis dan penduduk kampung.
Operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.30 pagi tadi. Namun, pemantauan berterusan akan dilakukan di kawasan terjejas berikutan risiko tanah runtuh susulan hujan berterusan.


































