Saintis mendakwa kebanyakan kes kapal hilang di Segitiga Bermuda disebabkan oleh gelombang gergasi, bukannya unsur mistik.
LONDON: Dari pesawat hilang tanpa jejak hingga kapal hantu yang menimbulkan tanda tanya, Segitiga Bermuda sudah lama dianggap lokasi penuh misteri dengan pelbagai fenomena ganjil.
Menurut Utusan Malaysia, seorang saintis bagaimanapun mendakwa dia sudah menemui jawapan sebenar di sebalik misteri tersebut.
Terletak di antara Florida, Puerto Rico dan Bermuda, kawasan itu mempunyai sejarah panjang nahas maut yang sering mencetuskan spekulasi berunsur ghaib.
Bagaimanapun, menurut pakar oseanografi dari Universiti Southampton, Dr Simon Boxall, penjelasan sebenar tidak melibatkan objek tidak dikenali (UFO) atau portal dimensi lain.
Sebaliknya, dia berkata, rekod kehilangan kapal dan pesawat di kawasan tersebut berpunca daripada fenomena ‘rogue waves’ atau gelombang ombak gergasi.
Gelombang ekstrem ini digambarkan sebagai dinding air yang boleh mencecah dua kali ganda lebih tinggi berbanding gelombang sekitarnya malah kadang kala mencapai setinggi 30 meter.
“Gelombang sebegini boleh muncul secara tiba-tiba dari arah berbeza berbanding angin utama, dan sebuah kapal besar boleh tenggelam dalam masa hanya dua atau tiga minit jika terperangkap,” jelas Dr Boxall.
Teori mengenai Segitiga Bermuda tersebar sejak kehilangan kapal USS Cyclops pada tahun 1918.
Kapal pengangkut arang batu Amerika itu digunakan untuk menghantar bekalan bahan api kepada kapal perang semasa Perang Dunia Pertama.
Dalam perjalanan dari Salvador, Brazil ke Baltimore, kapal sepanjang 165 meter itu hilang tanpa sempat mengirim isyarat kecemasan. Sehingga kini, tiada sebarang kesan kapal atau 306 anak kapalnya ditemui.
Kehilangan mengejut USS Cyclops mencetuskan pelbagai teori konspirasi, termasuk dakwaan pengaruh makhluk asing.
Namun Dr Boxall menegaskan, kapal berkenaan kemungkinan besar ditenggelamkan oleh gelombang gergasi.