WASHINGTON: Jawatankuasa Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) mendedahkan kumpulan pertama dokumen berkaitan siasatan terhadap pesalah seks terkenal, Jeffrey Epstein.
Menurut Utusan Malaysia, lebih 33, 295 muka surat rekod berkaitan Epstein dimuat naik ke laman web Jawatankuasa Pengawasan dan Pembaharuan selepas diserahkan oleh Jabatan Kehakiman.
“Kami sedang memuat naik dokumen ini untuk ketelusan penuh supaya seluruh rakyat AS boleh melihatnya. Ia sedang dimuat naik secepat mungkin. Kami mahu ia tersedia kepada umum secepat mungkin,” kata pengerusi jawatankuasa, James Comer kepada media.
Dokumen tersebut mendedahkan rekod penerbangan, rakaman kamera pengawasan penjara, dokumen mahkamah, rakaman audio dan emel berkaitan Epstein, namun ahli politik Republikan dan Demokrat sependapat fail-fail tersebut hampir tidak mengandungi maklumat baharu.
Ahli Kongres dari Kentucky, James Comer mengakui maklumat yang diperoleh adalah terhad.
“Setakat yang saya lihat, tiada apa-apa yang baharu dalam dokumen itu,” katanya kepada NBC News.
Rakaman video yang dikeluarkan pada Selasa termasuk rakaman di luar sel penjara Epstein di New York pada malam kematiannya meliputi 13 jam dan 41 saat rakaman dari malam 9 Ogos hingga pagi 10 Ogos 2019, iaitu ketika dia ditemui mati.
Rakaman tersebut adalah dua jam lebih panjang berbanding yang dikeluarkan oleh Jabatan Kehakiman dua bulan lalu.
Namun, rakaman baharu itu masih tidak mengandungi apa yang digelar sebagai ‘minit hilang’, satu lompatan pada kod masa antara jam 23:00 hingga 00:00, menurut laporan CBS.
Kumpulan dokumen yang didedahkan itu turut merangkumi beberapa klip dari tahun 2006 yang menunjukkan temu bual dengan individu yang mendakwa mereka adalah mangsa Epstein.
Wajah mereka dikaburkan dan nama telah dipadamkan daripada audio ketika mereka menceritakan dakwaan penderaan seksual yang berlaku ketika mereka diupah untuk memberikan urutan.
Jawatankuasa berkenaan sebelum ini telah mengeluarkan sepina kepada Jabatan Kehakiman untuk menyerahkan dokumen tersebut, dan kumpulan pertama diserahkan bulan lalu.
Dalam satu kenyataan, jawatankuasa itu memaklumkan pihaknya menjangkakan lebih banyak dokumen akan diterima daripada Jabatan Kehakiman, namun ia sedang disunting bagi melindungi identiti mangsa dan menyingkirkan sebarang bahan penderaan seksual kanak-kanak.
Epstein, seorang hartawan dengan hubungan berprofil tinggi, ditemui mati di dalam sel penjara New York pada 2019 ketika menunggu perbicaraan atas dakwaan pemerdagangan seks gadis bawah umur yang direkrut untuk memberikan urutan seksual kepadanya.
Presiden AS, Donald Trump pernah menjadi rakan Epstein, dan menurut The Wall Street Journal, namanya turut tersenarai dalam ratusan individu yang disebut semasa semakan fail Epstein oleh Jabatan Kehakiman walaupun tiada bukti salah laku ditemui.
Penyokong Trump pula sudah lama taksub dengan kes ini, mempercayai teori bahawa elit ‘Deep State’ melindungi kenalan Epstein dalam Parti Demokrat dan Hollywood tetapi bukan Trump.
Kemarahan mereka semakin memuncak sejak Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Kehakiman mengesahkan pada Julai lalu Epstein membunuh diri, tidak memeras ugut tokoh terkenal dan tidak menyimpan senarai pelanggan.