SYDNEY: Satu daripada bank terbesar di Australia memohon maaf kepada kakitangan yang menerima notis pemberhentian melalui e-mel automatik, selepas diminta memulangkan komputer riba.
Menurut Utusan Malaysia, eksekutif perbankan runcit ANZ, Bruce Rush berkata, syarikat itu tidak berniat untuk menyampaikan berita sensitif tersebut ketika ia mengurangkan jawatan dalam perniagaan perbankan runcitnya.
“Ia bukan niat kami untuk berkongsi berita sensitif sebegini dan saya memohon maaf tanpa syarat,” tulis Rush dalam e-mel tersebut.
Bank itu mendakwa, e-mel tersebut dihantar kepada beberapa kakitangan lebih awal daripada jadual secara tidak sengaja dan penghantarannya sudah dihentikan.
Katanya, kakitangan yang terjejas juga sudah dihubungi secara peribadi.
Menurut Kesatuan Sektor Kewangan, e-mel itu mencetuskan ‘panik dan tekanan’ kerana syarikat terlalu cepat melaksanakan perubahan.
Presidennya, Wendy Streets berkata, pihaknya tidak dirujuk mengenai perubahan yang sedang dibuat ANZ dan menegaskan bank itu ‘mesti lakukan dengan lebih baik’.
Rush berkata, e-mel itu menunjukkan tarikh akhir bagi sesetengah kakitangan sebelum mereka diberitahu secara peribadi mengenai keputusan tersebut.
ANZ menjelaskan, selepas menyedari kesilapan tersebut, syarikat segera memohon maaf dan mengadakan mesyuarat dalam talian untuk menjawab sebarang pertanyaan.
Bank itu juga mempercepatkan perbincangan rasmi dengan kakitangan terlibat mengenai peranan mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif ANZ, Nuno Matos dilaporkan berkata, tindakan itu tidak dapat diterima dan sangat mengecewakan, sambil memaklumkan menyiasat insiden tersebut.




























