KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun (Dr) Musa Haji Aman menyeru rakyat negeri ini agar terus mempertahankan perpaduan serta menolak sebarang usaha pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menabur kebencian melalui fitnah dan pembohongan, khususnya di media sosial.
Dalam perutusannya sempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah 2025, beliau menegaskan bahawa keamanan, keharmonian serta semangat bersatu padu merupakan sumbangan terbesar rakyat Sabah terhadap kejayaan Malaysia.
“Amat membimbangkan apabila kebencian semakin banyak tersebar di media sosial, di mana kandungan sering diambil di luar konteks dan dikongsi berulang kali sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat tanpa pengesahan yang sahih daripada pihak berkuasa atau sumber yang betul,” katanya.
Beliau mengingatkan bahawa meskipun dunia kini melangkah ke era teknologi maklumat canggih dan kecerdasan buatan, rakyat tetap mempunyai tanggungjawab untuk memastikan maklumat yang dikongsi adalah tepat dan benar.
Menurut Tun Musa, Sabah sejak sekian lama menjadi contoh cemerlang dalam aspek perpaduan dalam kepelbagaian kerana keunikan etnik dan budaya yang dimiliki.
“Keharmonian kita adalah kekuatan kita, dan kita tidak boleh membiarkannya terhakis oleh seruan yang memecah-belahkan masyarakat,” tegasnya.
Beliau turut menyeru rakyat Sabah untuk terus bekerjasama mengangkat negeri dan negara ke tahap yang lebih tinggi, selain menegakkan rasa hormat antara satu sama lain tanpa mengira bangsa, agama atau negeri asal.
Dalam pada itu, Tun Musa menekankan kepentingan merapatkan jurang pembangunan antara Sabah dan negeri-negeri lain melalui dasar strategik serta inisiatif sosioekonomi yang berkesan.
“Kita mesti terus berusaha meningkatkan mutu kehidupan rakyat di Sabah. Saya juga ingin mengingatkan perkhidmatan awam negeri tentang tanggungjawab mereka untuk memastikan semua projek dan program yang dirancang dilaksanakan segera tanpa halangan birokrasi yang tidak perlu,” ujarnya.
Beliau menambah, keutamaan harus sentiasa diberikan kepada kepentingan rakyat, sejajar dengan matlamat pembangunan negeri dan negara.
Tun Musa turut menekankan bahawa kestabilan politik Sabah amat penting bagi menarik pelaburan langsung asing serta bakat baharu, yang akan merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri.
Katanya, faktor itu juga akan membawa lebih banyak peluang dan kemajuan kepada rakyat, seiring aspirasi untuk menjadikan Sabah sebuah negeri yang makmur dan sejahtera.
“Pada Hari Kebangsaan dan Hari Sabah 2025 ini, marilah kita bersama-sama memperbaharui tekad untuk kekal bersatu padu dan bekerjasama demi kejayaan berterusan Sabah dan Malaysia,” katanya.
Beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan dan Hari Sabah 2025 kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya di negeri ini.




























