Donald Trump
WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan pemansuhan pengecualian tarif terhadap bungkusan kecil bernilai AS$800 ke bawah bermula Jumaat ini.
Menurut Utusan Malaysia, langkah itu boleh mencetuskan gangguan besar kepada penghantaran global dan kebimbangan dalam kalangan perniagaan kecil di seluruh dunia.
Di bawah peraturan baharu itu, semua bungkusan yang memasuki AS sama ada akan dikenakan tarif mengikut negara asal atau duti tetap antara AS$80 hingga AS$200 setiap item.
Menurut Penasihat Perdagangan Presiden, Peter Navarro, penutupan “kelompongan” ini bertujuan menyekat penyeludupan barang terlarang dan meningkatkan hasil negara.
“Pejabat pos asing perlu lebih tegas dalam mengawasi penyalahgunaan sistem pos untuk elak tarif dan penyeludupan,” katanya.
Namun, keputusan ini memberi tekanan besar kepada logistik global.
Lebih 25 negara menghentikan sementara penghantaran ke AS termasuk dari Perancis, Jerman, Itali, India, Jepun, Australia dan Thailand.
Perkhidmatan pos UK, Royal Mail, memperkenalkan saluran baharu untuk menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut.
Perubahan mendadak ini juga mencetuskan kekeliruan dalam kalangan pengguna dan tekanan kos kepada peniaga kecil.
Pemilik perniagaan dalam talian dari UK, Liz Nieburg, berkata dia terpaksa menghentikan penghantaran ke AS dan mempertimbangkan menaikkan harga berikutan margin keuntungan yang terlalu kecil.
Profesor Li Chen dari Universiti Cornell menjelaskan perkhidmatan pos memerlukan masa untuk menyesuaikan sistem kutipan duti.
“Ia bukan proses yang boleh dihidupkan seperti suis,” katanya.
Beliau menjangka perniagaan kecil paling terkesan, berbanding syarikat besar seperti Shein atau Temu yang masih mampu menyerap kejutan kos.
Syarikat pembuatan penutup luar rumah di California, CoverSeal, yang beroperasi dari China dan Mexico, terpaksa menghapuskan penghantaran percuma akibat peningkatan kos.
Pemiliknya, Ken Huening, berkata kekurangan pengeluaran domestik mendorong pergantungan kepada rantaian bekalan luar negara.
“Jika ini berterusan, kami mungkin tidak dapat bertahan,” katanya.
Peniaga dari Kanada dan Thailand turut menyuarakan kebimbangan mengenai kos dan kekeliruan pelanggan.
Haley Massicotte, pengasas produk pembersih Oak & Willow, berkata pengguna AS sering tidak faham cara tarif berfungsi.
“Kami cuba sedaya upaya untuk tidak naikkan harga,” jelasnya.
Di Bangkok, Sarah Louise Jour, penjual seramik, terpaksa beralih kepada perkhidmatan penghantaran yang lebih mahal selepas menghadapi sekatan dengan perkhidmatan pos tempatan. Pasaran AS menyumbang 90 peratusjualannya.






























