BEIJING: Sebuah video tular di media sosial memaparkan seorang wanita membawa anak perempuannya berusia tiga tahun ke Hospital Rakyat Dongchuan di Kunming, China, selepas kepala kanak-kanak itu tertusuk pisau.
Menurut Utusan Malaysia, kejadian dipercayai berlaku pada 15 Ogos lalu, apabila ibu kanak-kanak terbabit dikenali sebagai Hu, sedang menukar cadar di rumah.
Secara tidak sengaja, cadar tersebut menghayunkan pisau buah yang berada berhampiran sehingga mengenai kepala anaknya ketika bermain.
Video tersebut menarik perhatian netizen yang terkejut melihat ibu dan anak itu berjalan masuk ke hospital dalam keadaan tenang.
Seorang kakitangan hospital berkata, ibu kanak-kanak itu mengaku mengambil pisau berkenaan untuk ‘menakutkan’ anaknya yang mengamuk, tetapi secara tidak sengaja terkena kepala.
Bilah pisau sepanjang 15 sentimeter itu tertusuk di tengkorak kanak-kanak terbabit, tepat di atas telinga kanan, dengan sebahagian pisau masih kelihatan.
Hu dilaporkan cuba menarik pisau itu tetapi gagal, dan bukan menghubungi ambulans, sebaliknya dia terus membawa anaknya ke hospital.
Sebuah video menunjukkan kanak-kanak itu berjalan tenang masuk ke hospital dengan pisau masih tertusuk di kepala, manakala ibunya memegang tangan dan seorang kakitangan hospital membantu mereka.
Kakitangan perubatan berjaya mengeluarkan pisau itu, dan kanak-kanak tersebut berada dalam keadaan stabil di hospital.
Polis mengesahkan kejadian hanyalah kemalangan dan tiada unsur jenayah.
























