Data Pejabat Statistik Kebangsaan (ONS) menunjukkan hampir 1.4 juta orang melaporkan bekerja empat hari seminggu antara Oktober dan Disember 2024.
LONDON: Lebih 100,000 pekerja di United Kingdom (UK) beralih kepada jadual kerja empat hari seminggu sejak pandemik Covid-19, menandakan perubahan besar dalam landskap pekerjaan, menurut analisis terbaharu.
Menurut Utusan Malaysia, Data Pejabat Statistik Kebangsaan (ONS) menunjukkan hampir 1.4 juta orang melaporkan bekerja empat hari seminggu antara Oktober dan Disember 2024.
Angka itu meningkat lebih 100,000 berbanding tempoh sama pada 2019, apabila 1.29 juta orang bekerja mengikut jadual tersebut.
Penyokong dan segelintir ahli ekonomi berpendapat, minggu kerja empat hari membawa banyak manfaat, termasuk memberi lebih masa kepada pekerja untuk berehat, mengurangkan tekanan kesihatan mental, meningkatkan produktiviti dan memudahkan pengambilan serta mengekalkan pekerja.
Peratusan rakyat UK yang melaporkan bekerja empat hari seminggu meningkat daripada 9.8 peratus pada tiga bulan terakhir 2019 kepada 10.9 peratus, bersamaan 2.7 juta orang termasuk kerja sepenuh masa atau separuh masa.
Yayasan 4 Day Week, yang berkempen agar lebih banyak majikan mengamalkan minggu kerja lebih singkat tanpa pengurangan gaji, melaporkan lebih 420 syarikat dengan 12,000 pekerja kini beralih kepada jadual tersebut sejak pandemik.
Yayasan tersebut turut menggesa supaya minggu kerja empat hari dengan 32 jam menjadi norma baharu di Britain untuk semua pekerja tanpa melibatkan pemotongan gaji.
“Model bekerja lima hari dari pukul 9 pagi hingga 5 petang sudah berusia lebih satu abad dan tidak relevan dengan cara hidup dan bekerja hari ini,” kata penyelaras yayasan, Sam Hunt.
Pandemik mengubah landskap pekerjaan global, menjadikan kerja hibrid sebagai norma baharu untuk lebih suku pekerja di Britain, menurut Pejabat Statistik Kebangsaan.
Bulan lalu, Majlis Daerah South Cambridgeshire mengundi untuk melaksanakan jadual kerja empat hari seminggu secara kekal, menjadikannya pihak berkuasa tempatan pertama di UK berbuat demikian.
Kira-kira 700 kakitangan majlis itu ditawarkan pilihan untuk menyertai skim berkenaan, di mana mereka perlu menyiapkan 100 peratus tugasan dalam 80 peratus daripada waktu kontrak, tanpa sebarang pemotongan gaji.






























