PETALING JAYA: Tertekan kerana dikongkong teman wanita dipercayai punca seorang lelaki bertindak membunuh kekasihnya di sebuah pangsapuri di Kampung Baru Subang, dekat sini, Sabtu.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd. Hafiz Muhammad Nor, berkata pihaknya menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memaklumkan telah membunuh teman wanitanya kira-kira pukul 8.54 malam.
Katanya, sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah hadir ke alamat berkenaan untuk melakukan pemeriksaan.
“Pintu rumah dibuka oleh seorang lelaki dan memaklumkan bilik di bahagian belakang kediaman itu disewa sepasang kekasih.
“Hasil pemeriksaan dalam bilik berkenaan, polis menemukan seorang wanita dalam keadaan terbaring di atas katil dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya dalam kenyataan, kelmarin.
Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut oleh pasukan perubatan Hospital Sungai Buloh yang tiba di lokasi pada 10.47 malam mengesahkan mangsa didapati meninggal dunia kira-kira empat jam sebelum itu
“Mangsa iaitu seorang wanita tempatan berusia 52 tahun dipercayai dibunuh dengan cara dicekik dengan tangan namun siasatan lanjut masih dijalankan.
“Berikutan itu, kita menahan teman lelaki mangsa iaitu seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun di lokasi kejadian bagi membantu siasatan,” katanya.
Menurutnya,suspek direman tujuh hari sehingga 30 Ogos ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Azraai Mohamad Amin, di talian 018-9696941 bagi membantu siasatan,” katanya.






























