Keadaan mangsa maut dalam kemalangan akibat terjatuh dari jejambat Lebuhraya Dash, berketinggian kira-kira 21 meter dekat susur dari Persiaran Mokhtar Dahari, di Shah Alam, Selangor, semalam.
SHAH ALAM: Seorang mahasiswa sebuah kolej swasta menjadi mangsa ketiga yang maut selepas terjatuh dari jejambat akibat kemalangan dekat Kilometer 0.5 Lebuhraya Bertingkat Damansara – Shah Alam (Dash), di sini, semalam.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, mangsa seorang lelaki berusia 19 tahun sedang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC dari arah Persiaran Mokhtar Dahari.
Menurutnya, bagaimanapun motosikalnya dipercayai hilang kawalan ketika melalui susur persimpangan bertingkat lebuh raya berkenaan di Puncak Perdana.
“Mangsa dipercayai hilang kawalan semasa melalui selekoh lalu terbabas dan melanggar pembahagi jalan. Impak dari kemalangan tersebut menyebabkan mangsa terjatuh ke bawah daripada pada ketinggian lebih kurang 21 meter ke kawasan berumput di Persiaran Pulau Angsa.
“Akibat daripada kemalangan tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan maut di tempat kejadian,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambah Mohd. Iqbal, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil menyalurkannya kepada polis.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Nur Iqmal Maisarah Azman di talian 017-2836851,” ujarnya.
Untuk rekod, insiden pertama melibatkan kemalangan maut akibat jatuh jejambat dilaporkan pada 26 Februari lalu melibatkan seorang wanita yang terjatuh di KM 0.7 lebuh raya berkenaan dengan anggaran ketinggian dari tempat mangsa terjatuh adalah antara 30 hingga 35 meter.
Kejadian kedua pula pada 26 Julai lalu melibatkan seorang lelaki yang juga terjatuh di KM 0.5 apabila motosikal jenis Yamaha YZF-R15 ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh lalu terbabas dan melanggar pembahagi jalan.
































