Yeo Bee Yin
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Komuniti akan membentangkan cadangan dasar bagi menangani isu buli sekolah susulan kematian tragis Zara Qairina yang mengejutkan seluruh negara.
Pengerusinya yang juga Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin berkata, kematian Zara menjadi isyarat penting kepada Malaysia untuk menangani segera masalah buli sekolah dan memperkukuh langkah pencegahan.
“Tragedi yang menyayat hati ini bukan sahaja menggoncang Sabah, malah seluruh negara. Ia memaksa kita untuk merenung secara mendalam dan bertindak tegas demi melindungi anak-anak kita,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Yeo memaklumkan bahawa JKPK telah memulakan prosiding berhubung isu buli sekolah sejak minggu lalu. Sesi berkenaan melibatkan perbincangan dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk agensi kerajaan, pendidik, pakar profesional dan badan bukan kerajaan (NGO).
“Tujuannya adalah untuk mengumpul pandangan serta testimoni bagi mengenal pasti punca sebenar buli dan merangka strategi pencegahan yang berkesan,” jelasnya.
Menurut Yeo, JKPK komited untuk membentangkan laporan lengkap di Parlimen pada Khamis depan. Laporan itu akan mengandungi cadangan dasar khusus kepada kerajaan bagi memperkukuh usaha mengekang buli di sekolah.
“Kita berhutang kepada Zara dan semua kanak-kanak di Malaysia untuk memastikan tragedi sebegini tidak akan berulang. Keadilan untuk Zara mesti diterjemahkan kepada perubahan dalam sistem kita,” tegasnya.
JKPK ini turut dianggotai wakil kerajaan dan pembangkang, mencerminkan komitmen dwipartisan terhadap isu berkenaan. Antara ahlinya ialah Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid; Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir; Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Haji Kepli; Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail; Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff; Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Hajah Mumtaz Md Nawi; serta Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali.
Yeo berkata, jawatankuasa berkenaan akan memastikan cadangan yang dikemukakan bersifat praktikal, boleh dilaksanakan dan berupaya mewujudkan persekitaran sekolah yang lebih selamat di seluruh negara.
“Kita mesti lakukan yang terbaik demi menegakkan keadilan untuk Zara Qairina dan memastikan hak setiap kanak-kanak untuk belajar tanpa rasa takut terpelihara,” tambahnya.
Tragedi kematian Zara telah mencetuskan kemarahan orang ramai serta mendesak kepada reformasi sistemik dalam menangani keganasan di sekolah, dengan seruan #JusticeForZara semakin mendapat sokongan di seluruh negara.
























