BEIJING: Seorang lelaki warga emas di China hampir menceraikan isterinya selepas terpedaya dengan avatar wanita ciptaan kecerdasan buatan (AI) yang dikenalinya menerusi media sosial.
Menurut Utusan Malaysia, lelaki berusia 75 tahun dikenali sebagai Jiang itu mula berhubung dengan avatar berkenaan sehingga percaya ia merupakan seorang gadis sebenar.
Walaupun pergerakan bibir dan suara watak itu jelas tidak seiring, Jiang tetap menganggapnya teman wanita maya yang setia melayan perbualannya.
Keasyikan itu membuatkan Jiang sanggup mengabaikan isterinya dan akhirnya meminta cerai kerana mahu menumpukan sepenuh perhatian kepada avatar tersebut.
Bagaimanapun, anak-anaknya berjaya menyedarkannya dengan menjelaskan ‘kekasihnya’ itu hanyalah ciptaan AI semata-mata.
Kes seumpama itu dilaporkan semakin kerap berlaku di China, khususnya melibatkan golongan warga emas yang kesunyian atau mempunyai masalah pergerakan.
Avatar AI sering direka dengan pelbagai watak termasuk pelajar, pakar profesional mahupun pengacara berita, bukan sahaja untuk mempromosi produk tetapi juga bagi menyebarkan propaganda dan mewujudkan kebergantungan emosi.
Pakar memberi amaran agar keluarga lebih memantau aktiviti dalam talian warga emas kerana teknologi AI, meskipun memberi manfaat besar, juga boleh menjadi ancaman serius terhadap golongan rentan.




























