Anwar Ibrahim ketika Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.-Jabatan Penerangan Malaysia
KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak berkompromi dalam isu keselamatan negara lebih-lebih lagi membabitkan lima pegawai risikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau sudah mengarahkan Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohd. Nizam Jaffar untuk menyiasat perkara itu dengan serius.
Malah, beliau turut memberi jaminan bahawa perkara itu akan dibongkarkan sepenuhnya tanpa melindungi mana-mana pihak.
“Menteri Pertahanan (Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin) juga ambil berat perkara ini. Semalam ketika mengadap Yang di-Pertuan Agong (Sultan Ibrahim) dibangkitkan lagi perkara ini. Kita akan bongkar sepenuhnya.
“Saya setuju ini soal keselamatan negara, tidak boleh dikompromi,” katanya pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) melontarkan pertanyaan mengenai tangkapan dua warga China ketika menerbangkan drone di kawasan larangan di Wisma Pertahanan dan tangkapan lima pegawai tinggi ATM berkaitan sindiket penyeludupan di selatan tanah air.
Perdana Menteri berkata, beliau telah meminta Panglima ATM, Panglima Tentera Darat, Udara dan Laut serta Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Pertahanan Malaysia (MDIO) untuk menyerahkan laporan awal berhubung perkara tersebut.
“Saya tidak berselindung kerana kalau kita mula berkompromi (dengan) masalah pencerobohan dalam badan risikan itu malapetaka bagi negara kita,” katanya.
Tambahya, beliau tiada masalah sekiranya Menteri Pertahanan mahu mengemukakan laporan awal berhubung kedua-dua kes tersebut memandangkan ia membabitkan isu keselamatan negara.
“Kalau esok, Menteri Pertahanan dapat maklumat mahu kemukakan laporan awal, silakan. Ini soal keselamatan negara bukan soal parti, bukan soal kerajaan, bukan soal pembangkang (tetapi) kalau ada penyeludupan masuk dalam badan perisikan itu perkara besar.
“Kalau ada sekelompok seperti kartel yang mengambil keuntungan dan menjual rahsia itu perkara besar dalam negara jadi biarkan ada siasatan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan penahanan lima pegawai perisik tentera daripada MDIO oleh SPRM sekali gus melumpuhkan sindiket penyeludupan didalangi pegawai kanan ATM terbabit yang beroperasi di selatan tanah air melalui Ops Sohor.






























