Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan membuat perolehan aset pertahanan melalui tender terbuka dan rundingan terus kerajaan dengan kerajaan (G2G) bukan sahaja lebih berkesan bahkan mengurangkan tekanan komisyen ‘orang tengah’ dalam rundingan pembelian.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu diambil susulan kemelut dan skandal sejak puluhan tahun yang berlaku dalam Kementerian Pertahanan membabitkan pelbagai perolehan seperti helikopter, Kapal Tempur Pesisir (LCS) dan lain lain.
Katanya, susulan itu, beliau memutuskan untuk hanya menggunakan proses tender terbuka dan dalam beberapa keadaan membuat rundingan terus secara G2G.
“(Rundingan terus) kerajaan dengan kerajaan itu apabila dibincangkan, kos terus menurun kerana komisyen untuk ejen (yang) melampau tinggi telah dihentikan dan sebab itu proses (perolehan) pun sampai.
“Kalau dulu order (pesan) mesti sangkut, sekarang umpamanya untuk pesawat Unmanned Ariel System atau drone dari Türkiye, Insya-Allah, bulan Disember sampai. Kemudian, set sistem pelancar surface to surface (S2S) untuk TLDM (Tentera Laut Diraja Malaysia) dari Norway sampai bulan ini.
“Sebanyak 48 unit pelancar S2S untuk TLDM sudah 86 peratus siap dan dijadualkan siap sepenuhnya 2025, ini saya ucap terima kasih (kepada) TLDM dan kegiatan di Lumut kerana (isu) sudah berlarutan. Berpuluh tahun berhempas pulas bawa ke Parlimen, kajian san sini, sekarang, Alhamdulillah lebih teratur,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Pada masa sama, Perdana Menteri memaklumkan bahawa penghantaran pesawat Fighter Lead-In Trainer-Light Combat Aircraft (FLIT-LCA) dari Korea Selatan juga dijadualkan mula dihantar pada Oktober 2026 hingga Ogos 2027.
“Akhirnya rundingan dengan Itali, saya minta supaya dipercepatkan untuk pesawat maritime patrol aircraft (MPA). Pesawat itu dijangka siap pada Jun 2026.
“Inilah G2G, ia bermakna kedua-dua kerajaan bertanggungjawab dan kos itu jauh lebih rendah. Kementerian Pertahanan, TLDM atau TUDM (Tentera Udara Diraja Malaysia) boleh terus hubungi rakan sejawat mereka (untuk perkembangan terkini) tanpa perlu melalui ejen,” katanya.




























