Penyelidik AS mendapati penggunaan AI untuk menganalisis imbasan ultrabunyi mampu meramalkan tarikh kelahiran bayi dengan ketepatan sehingga 95 peratus. – Gambar Hiasan
NEW YORK: Kajian terbaharu mendapati penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi menganalisis imbasan ultrabunyi berpotensi meramalkan tarikh tepat kelahiran bayi dengan ketepatan sehingga 95 peratus.
Menurut Utusan Malaysia, ketika ini, doktor biasanya menganggarkan tarikh jangkaan bersalin dengan menambah 40 minggu daripada hari pertama haid terakhir ibu.
Kaedah tersebut, dikenali sebagai peraturan Naegele, mengandaikan wanita mempunyai kitaran haid 28 hari dan berovulasi pada hari ke-14, namun jangkaan yang sebenarnya tidak tepat bagi kebanyakan wanita.
Di United Kingdom (UK), hanya empat peratus bayi dilahirkan pada tarikh jangkaan bersalin yang ditetapkan.
Namun, sekumpulan penyelidik dari Amerika Syarikat (AS) berkata, penggunaan AI untuk menganalisis imbasan ultrabunyi mampu meramalkan tarikh kelahiran bayi dengan ketepatan sehingga 95 peratus.
Penyelidik menggunakan perisian yang dibangunkan dan dilatih dengan lebih dua juta imej ultrabunyi daripada wanita yang melahirkan anak di Universiti Kentucky antara 2017 hingga 2020, bagi mengukur sejauh mana AI boleh menganggarkan sama ada bayi akan dilahirkan cukup bulan atau sebaliknya.
Program itu, dinamakan Ultrasound AI, mampu meramal sama ada seorang bayi akan lahir pramatang dengan ketepatan 72 peratus, tanpa bergantung kepada maklumat luaran seperti sejarah kesihatan ibu atau ukuran klinikal.
Ia mencapai ketepatan 95 peratus dalam meramal tarikh kelahiran bayi cukup bulan dan 92 peratus bagi semua kelahiran secara keseluruhan.
“AI akan memberikan lebih banyak pandangan mengenai cara menyasarkan dan mencegah komplikasi kehamilan, selain langkah penting pertama dalam kemajuan teknologi bidang obstetrik,” kata pengarah perubatan ibu-janin di Universiti Kentucky, Dr John O’Brien.
Kelahiran pramatang kini menjadi punca utama kematian bayi baru lahir di seluruh dunia, dengan seorang setiap 12 bayi dilahirkan tidak cukup bulan.




























